Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lima aset udara dikerahkan cari dua warga S'pura hilang dekat Mersing

Lima aset udara pelbagai agensi penyelamat digerakkan hari ini (12 Ogos) bagi operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki dan seorang wanita warga Singapura yang hilang ketika berkayak di perairan Endau dekat Mersing, Khamis lepas.

Anggaran Waktu Membaca:
Lima aset udara dikerahkan cari dua warga S'pura hilang dekat Mersing

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 12 Aug 2019 03:19PM Dikemas Kini : 12 Aug 2019 03:25PM

MERSING: Lima aset udara pelbagai agensi penyelamat digerakkan hari ini (12 Ogos) bagi operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki dan seorang wanita warga Singapura yang hilang ketika berkayak di perairan Endau dekat Mersing, Khamis lepas.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Mersing Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata operasi yang memasuki hari keempat itu menyaksikan pertambahan empat aset udara digunakan pada operasi itu berbanding hanya satu aset semalam.

“Kesemua lima aset udara melibatkan dua helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sebuah helikopter AW139 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta sebuah helikopter AW139 dan pesawat Beechcraft milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Keluasan pencarian menggunakan aset udara pula diperluas sehingga 900 batu nautika dari perairan timur dan utara Pulau Tioman, Pahang,” katanya kepada pemberita di Jeti Penumpang Penyabong, Endau, hari ini.

Encik Haris Fadzillah berkata selain aset udara, operasi mencari dan menyelamat hari ini turut dibantu tujuh aset laut melibatkan sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Handalan, sebuah kapal KM Niah milik APMM, sebuah bot Penggalang 19, Pengawal 32 dan Kilat 14 milik APMM serta dua bot milik Pasukan Polis Marin iaitu PAC 28 dan PC31.

Beliau berkata kawasan tumpuan pencarian di laut melibatkan 600 batu nautika persegi dari timur Rompin sehingga utara Pulau Tioman.

Katanya operasi hari ini membabitkan kekuatan 104 anggota penyelamat dari pelbagai agensi berkenaan berbanding 50 orang semalam termasuk pencarian di pesisir pantai dari Mersing hingga ke Rompin, Pahang oleh anggota JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Sehingga kini kami masih belum menemui petunjuk baru dan kami berharap dapat menemui kedua-dua mangsa. Justeru, kami melipat gandakan usaha dengan memperluaskan skop pencarian dan pertambahan aset udara dan laut,” katanya.

Menurut Encik Haris Fadzillah, faktor cuaca yang tidak menentu iaitu disebabkan angin monsun barat daya ketika ini merupakan antara cabaran anggota penyelamat dalam menjalankan operasi berkenaan.

Khamis lalu, lelaki berkenaan, Tan Eng Soon, 62, dan wanita, Puah Geok Tin, 57, dilaporkan hilang pada kira-kira 5.40 petang selepas kayak dinaiki terpisah dengan 13 lagi rakan mereka antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing.

Mereka dipercayai terpisah dari kumpulan berikutan laut bergelora dan angin kuat.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan