Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lihat skim Pemerintah secara menyeluruh dan jangka panjang: Dr Maliki

Skim-skim pemerintah termasuk CPF dan Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) perlu dilihat dari sudut menyeluruh dan jangka panjang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Skim-skim pemerintah termasuk CPF dan Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) perlu dilihat dari sudut menyeluruh dan jangka panjang.

Ini ditekankan oleh Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman di satu sesi dialog pasca belanjawan pagi tadi (23 Feb).

Menawarkan lebih penjelasan tentang butir-butir Belanjawan yang dibentangkan awal minggu ini, ia dihadiri sekitar 60 penduduk Melayu dari GRC East Coast dan SMC Fengshan.

Bonus Bicentennial, Pakej Generasi Merdeka dan skim CHAS adalah antara inti pati Belanjawan yang dibincangkan pagi tadi.

Segala persoalan tentang skim-skim baru dan yang dipertingkat diperjelaskan satu-persatu oleh Dr Maliki dalam sesi yang diadakan di Kelab Masyarakat Siglap itu.

Dr Maliki mendapati masyarakat umumnya tahu bahawa skim-skim dan bantuan disediakan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan warga tua.

Namun, masih terdapat kekeliruan tentang perinciannya selain isu-isu berkaitan skim pemerintah seperti CPF dan CHAS yang juga dibangkitkan oleh para peserta.

"Ini kerana terdapat banyak kekeliruan tentang CPF misalnya dan mereka menyuarakan mungkin lebih baik jika terdapat pegawai pemerintah dari agensi-agensi tersebut mendekati masyarakat untuk menerangkan dengan menggunakan bahasa-bahasa yang meningkatkan kefahaman mereka," kata Dr Maliki.

Para peserta yang hadir digalak menjadi 'pengantara' yang dapat menyampaikan maklumat-maklumat tersebut kepada keluarga dan jiran tetangga.

"Apa yang Dr Maliki sampaikan semua saya faham. Saya cukup memahami semua daripada Generasi Merdeka sampai yang bahagian CPF," kata seorang penduduk, Cik Asiah Mohamed, 66 tahun.

Encik Khairul Asraf, 23 tahun pula berkata: "Anak muda sekarang mudah terpengaruh dengan berita yang tidak benar, yang kadang-kadang orang sampaikan daripada orang lain. Itu yang membuat kita sangka buruk kepada Pemerintah. Jadi pada hari ini saya dapat dengar penjelasan daripada Dr Maliki sendiri."

"Jelas dan memberangsangkan dan kita lebih faham tentang Belanjawan yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan kita di Singapura ini," sambut Encik Johan Salim, 65 tahun.

Menyentuh tentang langkah-langkah sokongan masyarakat dalam Belanjawan tahun ini, Dr Maliki berkata rakyat masih boleh mendapatkan bantuan daripada Pejabat Khidmat Keluarga misalnya, sekiranya keperluan mereka belum dipenuhi.

Beliau turut menekankan pentingnya untuk masyarakat melihat dasar-dasar dan bantuan yang diberikan dalam Belanjawan "secara menyeluruh" dan bukan "miopik".

"Apa yang saya cuba terangkan kepada mereka ialah secara purata kita memberi sokongan, subsidi kepada setiap lapisan masyarakat daripada aspek keperluan mereka.

"Tapi daripada aspek individu, jika mereka merasakan bahawa mereka mempunyai masalah yang masih agak rumit dan perlu bantuan yang lain, bantuan yang lain akan diberikan untuk mereka juga," tambah Dr Maliki.

Sesi bersama penduduk itu adalah dialog pasca Belanjawan pertama anjuran MAEC GRC East Coast dan SMC Fengshan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan