Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lif estet HDB di bawah majlis bandaran PAP dilengkapi ciri keselamatan baru

 Lebih 17,000 lif di estet-estet perumahan awam yang dikendalikan oleh majlis-majlis bandaran Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan baru, dua tahun selepas berlakunya beberapa kemalangan yang melibatkan lif.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Jan 2019 01:42PM Dikemas Kini : 28 Jan 2019 11:35PM

SINGAPURA: Lebih 17,000 lif di estet-estet perumahan awam yang dikendalikan oleh majlis-majlis bandaran Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan baru, dua tahun selepas berlakunya beberapa kemalangan yang melibatkan lif.

Ciri-ciri keselamatan baru itu akan diterapkan sepanjang 10 tahun akan datang.

Namun kerja-kerja akan mula dilaksanakan ke atas 1,600 lif di estet-estet perumahan yang dikendalikan oleh PAP selama tempoh 15 bulan akan datang, menurut 15 majlis bandaran PAP dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin (28 Jan).

Ciri-ciri keselamatan baru termasuk suis bercantum bagi panel-panel pintu untuk memastikan agar lif-lif akan berhenti bergerak dengan serta merta apabila pintu lif dibuka. Antara ciri-ciri keselamatan baru termasuk alat pemantau dan peralatan bagi mengurangkan kelajuan.

Ciri-ciri lain juga terdiri daripada sistem interkom dan peralatan untuk menghentikan pergerakan lif tidak sengaja sebagai alat perlindungan pintu lif.

"Ia adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang majlis-majlis bandaran PAP untuk meningkatkan keberkesanan sistem, memastikan kod dan piawai dipatuhi serta ciri keselamatan dipertingkatkan," menurut kenyataan media itu.

Pada 2016, Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) menyarankan agar lif-lif yang ada sekarang di Singapura 'dimodenkan' dengan menerapkan lapan ciri keselamatan.

Garis panduan itu dilakarkan menyusuli beberapa kemalangan yang membabitkan masalah lif.

Pada Oktober 2015, tangan seorang wanita warga tua terputus setelah tersepit antara pintu lif akibat satu kemalangan yang berlaku. Pada Mac 2016 pula, sebuah lif tiba-tiba naik dengan pantas setinggi 17 tingkat lalu menyebabkan seorang pembantu rumah terperangkap di dalam lif berkenaan.

Pada Mei, seorang lelaki warga tua yang berkerusi roda motor meninggal dunia akibat terjatuh selepas lif yang dinaikinya berhenti lebih tinggi daripada paras lantai.

Sebulan kemudian, seorang wanita berusia 59 tahun mengalami kecederaan pada tulang belakangnya apabila lif yang dinaikinya naik dengan mendadak antara tingkat satu dengan tingkat 12.

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) kemudian melancarkan Program Peningkatan Lif bagi membantu membiayai kos memodenkan lif-lif lama di estet-estet perumahan awam. Program itu meliputi lif-lif yang tidak dilengkapi dengan semua ciri keselamatan yang disarankan oleh BCA dan yang beroperasi selama kurang 18 tahun sejak program itu dilancarkan.

Di bawah skim bernilai S$450 juta itu, HDB akan membiayai sekitar 90 peratus daripada kos yang perlu ditanggung oleh majlis-majlis bandaran bagi memasang ciri-ciri keselamatan yang disarankan.

Mediacorp sudahpun menghubungi Majlis Bandaran Aljunied-Hougang yang dikendalikan oleh Parti Pekerja untuk menanyakan sama ada ia merancang untuk memasang ciri-ciri keselamatan yang serupa pada lif-lif di estet-estet perumahannya.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan