Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Liew Mun Leong bersara dari CAG, peranan awam & perniagaan lain susuli kes bicara bekas amah

Pengerusi Changi Airport Group Liew Mun Leong mengumumkan pada Khamis (10 Sep) bahawa beliau akan bersara daripada jawatan-jawatannya dalam perkhidmatan awam dan perniagaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Liew Mun Leong bersara dari CAG, peranan awam & perniagaan lain susuli kes bicara bekas amah

Liew Mun Leong merupakan Pengerusi Changi Airport Group dan Surbana Jurong. (Gambar: Surbana Jurong)

Diterbitkan : 10 Sep 2020 09:17PM Dikemas Kini : 10 Sep 2020 09:19PM

SINGAPURA: Pengerusi Changi Airport Group Liew Mun Leong mengumumkan pada Khamis (10 Sep) bahawa beliau akan bersara daripada jawatan-jawatannya dalam perkhidmatan awam dan perniagaan.

Ini menyusuli keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang membebaskan bekas pembantu rumahnya, Parti Liyani, daripada tuduhan-tuduhan mencuri daripada keluarga beliau.

"Setelah menimbangkannya, saya memutuskan untuk mengundurkan diri daripada pelbagai peranan perkhidmatan awam dan perniagaan dengan Changi Airport Group, Surbana Jurong, Yayasan Temasek dan Temasek International dengan serta-merta," kata Encik Liew dalam satu kenyataan kepada pihak media.

"Bagi mereka yang mengenali saya, mereka akan tahu bahawa saya bersungguh-sungguh terhadap peranan dan misi pertubuhan-pertubuhan ini. Saya tidak mahu keadaan saya sekarang menjadi gangguan kepada pihak-pihak lembaga, pengurusan dan kakitangan masing-masing, di tengah-tengah banyak keutamaan genting mereka."

Encik Liew menambah sepanjang siasatan dan perbicaraan, beliau dan keluarganya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

"Mahkamah Tinggi sudah membuat keputusannya. Saya percaya pada sistem perundangan kita dan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi," kata Encik Liew.

"Saya difahamkan kedua-dua Pejabat Peguam Negara (AGC) dan polis sedang menjalankan semakan mengenai perkara itu. Sekiranya perlu, saya dan keluarga akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kedua-dua AGC dan polis."

Encik Liew dan keluarganya menuduh Cik Parti mencuri daripada mereka pada 2016. Dalam kenyataannya, beliau berkata beliau membuat aduan polis kerana percaya bahawa jika "ada kecurigaan tentang salah laku, ia menjadi kewajipan sivik kita untuk melaporkan perkara tersebut kepada polis dan membiarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan sewajarnya."

Semasa perbicaraan, Encik Liew memberitahu mahkamah beliau sudah lama mengesyaki Cik Parti mencuri daripada rumah keluargnya tetapi "bertolak ansur" terhadap sikapnya.

Cik Parti dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan dua bulan setelah beliau disabit empat tuduhan mencuri pada Mac 2019.

Beliau bagaimanapun dibebaskan daripada semua sabitan kesalahan itu oleh Mahkamah Tinggi minggu lalu.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan