Images
  • Li
    Encik Li Shengwu. (Gambar: Tim McLaughlin/Reuters)

Li Shengwu akan bayar denda S$15,000 kerana hina mahkamah; berkeras tidak mengaku bersalah

SINGAPURA: Encik Li Shengwu mengumumkan bahawa beliau akan membayar denda S$15,000 kerana menghina mahkamah, namun menegaskan bahawa beliau "tidak mengaku bersalah" dalam satu catatan Facebook pada Selasa (11 Ogos).

Cucu mendiang Lee Kuan Yew dan anak lelaki Lee Hsien Yang menulis catatan itu sehari sebelum tarikh akhir untuk membuat bayaran dan menurutnya lagi, beliau memutuskan untuk membayar denda itu "supaya dapat sedikit ketenangan".

"Membayar denda mengelakkan daripada memberikan Pemerintah Singapura alasan mudah untuk menyerang saya dan keluarga saya," katanya.

Sambil menambah: "Saya tidak mengaku bersalah. Saya tidak pernah menafikan apa yang saya tulis, kepada kawan-kawan saya melalui catatan peribadi di Facebook."

Encik Li, seorang penolong profesor ekonomi di Universiti Harvard yang menetap di Amerika Syarikat, didapati bersalah kerana menghina mahkamah pada bulan lalu.

Encik Li diarahkan membayar denda S$15,000 dalam tempoh dua minggu, atau menjalani hukuman penjara selama seminggu jika gagal membayarnya.

Encik Li juga diarahkan supaya membayar sekitar S$16,000 bagi kos dan urusan lain.

- CNA/HA/ha

Top