Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Levi baru biaya pembinaan T5, peluasan Lapangan Terbang Changi

Para penumpang yang berlepas dari Lapangan Terbang Changi perlu membayar tambahan S$13.30 mulai 1 Julai.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Feb 2018 06:09PM Dikemas Kini : 01 Mar 2018 12:59AM

SINGAPURA: Para penumpang yang berlepas dari Lapangan Terbang Changi perlu membayar tambahan S$13.30 mulai 1 Julai.

Ini untuk membantu membiayai projek besar peluasan lapangan terbang itu, termasuk membina Terminal 5 (T5) serta menaikkan Yuran Khidmat dan Keselamatan Penumpang yang sedia ada.

Sebahagian besar bayaran itu adalah Levi Pembangunan Lapangan Terbang.

Bagi para penumpang yang memulakan penerbangan mereka dari Lapangan Terbang Changi, mereka perlu membayar levi S$10.80, manakala penumpang yang melakukan persinggahan di lapangan terbang itu akan membayar S$3, menurut lapangan terbang itu hari ini (28 Feb).

Levi baru itu akan tertera pada tiket penumpang dan membentuk sebahagian daripada harga tiket.

Yuran Khidmat dan Keselamatan Penumpang - gabungan bayaran bagi khidmat dan keselamatan sedia ada - akan dinaikkan $2.50 setiap tahun mulai 1 Julai. Dari 31 Mac 2019, yuran akan dinaikkan lagi S$2.50 setiap tahun sehingga tahun 2024.

Ini menandakan pertengahan fasa kerja-kerja binaan projek Changi East. Pada waktu itu, yuran tersebut akan disemak semula.

Buat masa ini, para penumpang yang berlepas dari Lapangan Terbang Changi perlu membayar yuran keberangkatan $34.

Ia termasuk yuran khidmat dan keselamatan penumpang serta levi oleh Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).

Dengan caj baru itu, para penumpang perlu membayar yuran lapangan terbang sebanyak $47.30 mulai 1 Julai sehingga kenaikan seterusnya dikuatkuasakan pada 31 Mac 2019.

Mereka yang singgah di Lapangan Terbang Changi pula perlu membayar $9 - termasuk levi pembangunan iaitu $3 dan $6 bagi yuran khidmat dan keselamatan, yang tidak dinaikkan buat masa ini.

Syarikat-syarikat penerbangan juga akan berdepan kenaikan kos.

Yuran pendaratan, meletak pesawat dan jambatan pesawat yang dikenakan ke atas semua pesawat di Lapangan Terbang Changi akan dinaikkan satu peratus mulai 1 Julai.

Ia akan dinaikkan lagi satu peratus setahun sehingga 2024 semasa semakan dilakukan.

TERMINAL BARU, LANDASAN BARU

Ini bukanlah kali pertama Lapangan Terbang Changi menaikkan yuran untuk membantu membiayai projek-projek peluasan.

Pada bulan April 2013, kali terakhir yuran khidmat penumpang dinaikkan, dua projek dirancangkan - pembinaan T4 dan peluasan T1.

Kali ini, yuran yang lebih tinggi itu akan digunakan untuk menampung projek Changi East, yang termasuk T5 serta sistem tiga landasan yang mula dibina sejak tahun 2016.

Apabila selesai dibina pada tahun 2030, T5 akan menyambut 50 juta penumpang setahun pada awalnya dan sehingga 70 juta jika perlu. Ini melebihi jumlah penumpang T1, T2 dan T3 digabungkan - menjadikan keseluruhan jumlah penumpang lapangan terbang itu sebanyak 135 juta dari 82 juta sekarang.

T5 juga akan membolehkan pesawat seperti Singapore Airlines untuk menambah laluan penerbangan bagi mempertingkat ketersambungan negara ini.

CEO Singapore Airlines Goh Choon Phong berkata syarikatnya sudah bersedia untuk berdepan kesulitan menambah lebih banyak penerbangan pada waktu sibuk.

Menurut Lapangan Terbang Changi landasan ketiga "lebih mendesak" berbanding T5 memandangkan dua landasan sedia ada sudah mencecah kapasiti penuh.

Landasan ketiga yang sepanjang empat kilometer, akan siap untuk digunakan pada tahun 2020. Sistem tiga landasan itu pula akan mula beroperasi awal tahun 2020.

Dana itu juga akan disalurkan untuk membiayai kerja-kerja pembinaan terowong dan sistem yang membantu pergerakan penumpang, bagasi dan kenderaan sokongan antara Changi East dengan terminal-terminal lain.

Selain itu, kerja-kerja persiapan tapak dan sistem saliran di Changi East yang diperlukan untuk mempersiapkan lokasi binaan sudah dijalankan sejak 2014.

DANA DARI TIGA PIHAK

Projek Changi East dijangka menelan belanja puluhan bilion dolar, setanding dengan perancangan peluasan lapangan terbang di London dan Hong Kong dan ia akan dibiayai menerusi sumbangan bersama oleh Pemerintah, Changi Airport Group (CAG) dan penumpang yang berlepas dari Lapangan Terbang Changi.

Pemerintah akan membiayai sebahagian besar kos itu dan sudahpun menyumbang lebih S$9 bilion bagi projek tersebut.

Changi Airport Group pula komited membelanjakan S$3.6 bilion sehingga hari ini dan akan menggunakan simpanan serta lebihan pada masa akan datang. Ia juga akan meminjam sejumlah wang yang besar untuk membiayai projek itu, menurut CAG.

Dengan 62.2 juta penumpang yang melalui terminal-terminalnya pada tahun 2017, Lapangan Terbang Changi merupakan lapangan terbang antarabangsa ketujuh paling sibuk di dunia.

Bilangan penumpang di lapangan terbang itu diunjurkan meningkat tiga hingga empat peratus pada 20 tahun mendatang.  

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan