Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Leong Sze Hian gunakan saman fitnah untuk tagih simpati dan sokongan, kata PM Lee

Penulis blog, Leong Sze Hian, yang disaman Perdana Menteri Lee Hsien Loong kerana mengongsi satu rencana berunsur fitnah di Facebook, didakwa menggunakan saman terhadapnya itu "untuk melancarkan kempen awam bagi mendapatkan simpati dan sokongan".

Anggaran Waktu Membaca:
Leong Sze Hian gunakan saman fitnah untuk tagih simpati dan sokongan, kata PM Lee

Gambar fail Encik Leong Sze Hian (kiri) dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong. (Gambar-gambar: Leong Sze Hian, Tang See Kit/Facebook)

Diterbitkan : 27 Feb 2019 09:56PM Dikemas Kini : 27 Feb 2019 10:17PM

SINGAPURA: Penulis blog, Leong Sze Hian, yang disaman Perdana Menteri Lee Hsien Loong kerana mengongsi satu rencana berunsur fitnah di Facebook, didakwa menggunakan saman terhadapnya itu "untuk melancarkan kempen awam bagi mendapatkan simpati dan sokongan".

Demikian menurut PM Lee dalam afidavitnya terhadap tuntutan balas Encik Leong yang mendakwa bahawa beliau "menyalahgunakan proses mahkamah" dengan memfailkan saman fitnah terhadapnya.

Dalam afidavit bertarikh 11 Feb itu, PM Lee menulis bahawa "kempen awam" Encik Leong itu "secara sinis menarik perhatian kepada rencananya agar sentiasa segar di minda orang-orang di Singapura".

Encik Leong berkongsi satu rencana pada 7 November yang diterbitkan laman Malaysia, The Coverage, bertajuk "Breaking News: Singapore Lee Hsien Loong Becomes 1MDB's Key Investigation Target - Najib Signed Several Unfair Agreements With Hsien Loong In Exchange for Money Laundering".

Rencana itu mendakwa bahawa PM Lee membantu bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dalam kegiatan pengubahan wang haram berhubung syarikat dana pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam afidavit beliau, PM Lee membalas tuntutan Encik Leong bahawa saman terhadapnya itu adalah penyalahgunaan proses mahkamah, kerana ia bukan sesuatu yang "nyata dan besar".

PM Lee menulis: "Rencana itu membuat dakwaan-dakwaan palsu bahawa saya adalah sasaran utama dalam siasatan terhadap 1MDB, dan Encik Najib menandatangani beberapa perjanjian 'yang tidak adil' dengan saya demi mendapatkan bantuan bank-bank Singapura untuk pengubahan berbilion-bilion dolar wang 1MDB, dan saya korup".

"Itu adalah satu serangan peribadi terhadap saya dan juga terhadap pemerintah Singapura, yang saya terajui," kata PM Lee.

"Fitnah itu adalah sangat serius dan mempersoalkan sama ada saya layak menjadi Perdana Menteri Singapura," tambah beliau.

PM Lee juga menolak hujah Encik Leong bahawa pos di Facebooknya mempunyai tontonan terhad.

Encik Leong dalam afidavitnya mengatakan bahawa ganti rugi dalam kes itu mungkin jauh kurang daripada kos guaman untuk mencapai perbicaraan, menganggarkan jumlahnya "dalam sekitar S$150,000 hingga S$ 200,000 bagi kedua-dua belah pihak".

"Untuk meneruskan litigasi yang mahal terhadap penerbitan yang begitu kecil, ini adalah jelas, penyalahgunaan proses mahkamah," kata Encik Leong.

SAMAN FITNAH BUKAN UNTUK SEKAT KEBEBASAN BERSUARA: PM LEE

PM Lee juga membalas tuduhan Encik Leong bahawa beliau memfailkan saman fitnah terhadap penulis blog itu untuk "menyekat kebebasan bersuara".

PM Lee berkata: "Saya juga menafikan dakwaan defendan ... bahawa tuntutan saya terhadapnya harus disingkirkan sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah, kerana saya membawa prosiding terhadap defendan demi faedah kolateral... untuk melindungi reputasi pemerintah atau untuk menyekat kebebasan bersuara dengan menggunakan proses undang-undang bagi menghantar mesej kepada para penduduk secara keseluruhannya untuk tidak mengkritik saya atau pemerintah."

PM Lee berkata rencana itu mengandungi "dakwaan yang sangat serius dan merosakkan" terhadap dirinya, pemerintah Singapura, dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

"Pemerintah dan MAS mengambil tindakan demi melindungi integriti mereka," katanya.

"Sebagai individu yang telah difitnahkan, saya berhak mempertahankan reputasi saya."

PM Lee berkata bahawa beliau sudah memberikan Encik Leong "peluang yang munasabah untuk memohon maaf" tetapi beliau "enggan berbuat demikian".

"Sesiapa pun, termasuk (Encik Leong), berhak untuk mengkritik saya atau dasar-dasar saya, namun tiada siapa yang berhak untuk memfitnah," tulis PM Lee.

PM Lee menegaskan bahawa Encik Leong, sepertimana yang diakuinya sendiri dalam pembelaan dan tuntutan balasnya, adalah pengkritik pemerintah yang terkenal yang sudah menulis banyak rencana yang mengkritik dasar-dasar pemerintah.

"Sepanjang masa itu, saya tidak memfailkan saman terhadap defendan," tulis PM Lee. "Tetapi kali ini, beliau memfitnahkan saya dan menimbulkan keraguan terhadap integriti dan reputasi saya, dan beliau akan mempunyai segala peluang untuk mempertahankan dirinya di mahkamah nanti. Saya harap beliau mengambil peluang itu dan tidak akan bersembunyi sekali lagi. "

Hakim Aedit Abdullah mendengarkan permohonan kedua-dua pihak di ruang Mahkamah Tinggi pada Isnin (25 Feb). Penghakiman bertulis akan disampaikan nanti, di suatu tarikh yang tidak didedahkan. 

Sumber : CNA/IL/il
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan