Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Leong Sze Hian fail pembelaan dan tuntutan balas terhadap PM Lee berhubung dakwaan fitnah

Penulis blog, Leong Sze Hian, yang disaman fitnah Perdana Menteri Lee Hsien Loong kerana mengongsi satu rencana, memfailkan tuntutan balas, serta membuat pembelaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Leong Sze Hian fail pembelaan dan tuntutan balas terhadap PM Lee berhubung dakwaan fitnah

Gambar fail Encik Leong Sze Hian (kiri) dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong. (Gambar-gambar: Leong Sze Hian, Tang See Kit/Facebook)

Diterbitkan : 27 Dec 2018 01:16AM Dikemas Kini : 27 Dec 2018 01:18AM

SINGAPURA: Penulis blog, Leong Sze Hian, yang disaman fitnah Perdana Menteri Lee Hsien Loong kerana mengongsi satu rencana, memfailkan tuntutan balas, serta membuat pembelaan.

PM Lee mengambil tindakan guaman terhadap Encik Leong, seorang penasihat kewangan, kerana berkongsi satu rencana "berunsur fitnah" yang mendakwa PM Lee membantu mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dalam pengubahan wang haram.

Rencana bertajuk "Breaking News: Singapore Lee Hsien Loong Becomes 1MDB's Key Investigation Target - Najib Signed Several Unfair Agreements With Hsien Loong In Exchange for Money Laundering" diterbitkan di laman Malaysia, The Coverage, pada 7 Nov.

Rencana tersebut mendakwa bahawa PM Lee "bersubahat dalam kegiatan jenayah" berkaitan dengan 1MDB dan beliau "menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang Perdana Menteri untuk membantu Encik Najib Razak mengubah (secara haram) berbilion-bilion dolar wang 1MDB," menurut para peguam PM Lee, yang dipimpin Peguam Kanan Davinder Singh.

Encik Leong pada Rabu (26 Dis) mengumumkan di laman Facebooknya bahawa beliau akan mendapatkan khidmat peguam Lim Tean selaku peguam bela. Beliau turut berkongsi dokumen-dokumen mahkamah yang mengariskan pembelaan serta tuntutan balasnya.

Encik Lim baru-baru ini menubuhkan satu parti politik baru yang dinamakan 'People's Voice'.

Dalam dokumen-dokumen mahkamah tersebut, Encik Leong dikatakan sudah menurunkan catatan Facebook tersebut sebaik sahaja diarah Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), tiga hari selepas ia dimuat naik.

"Beliau tidak menyatakan bahawa apa yang tertulis atau dikatakan ditulis adalah benar," kata Encik Lim sebagai membela Encik Leong. Encik Lim menambah, anak guamnya "sekadar berkongsi tanpa menyuarakan sokongan mahupun meninggalkan komen berkaitan dengan rencana itu" yang dikirimkan kepadanya menerusi laman Facebook.

Beliau akan berhujah bahawa dakwaan terhadap anak guamnya tidak perlu "bagi menjernihkan reputasi Perdana Menteri" kerana rakyat Singapura umumnya "tahu bahawa PM Lee dan Pemerintah sudah menekankan bahawa rencana itu tidak benar sepanjang tiga hari rencana itu dimuat naik ke laman Facebook anak guam kami," kata Encik Lim dalam dokumen-dokumen tersebut.

Encik Leong turut memfailkan tuntutan balas terhadap Perdana Menteri dengan dakwaan "menyalahgunakan proses mahkamah" kerana tiada "keperluan mendesak untuk meneruskan prosiding".

Dalam tuntutan balasnya, Encik Leong menekankan bahawa "reputasinya terjejas" selepas PM Lee mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. Encik Leong turut meminta supaya kerugiannya turut dinilai sekiranya menang dalam tuntutan balasnya.

Menjawab pertanyaan pihak media, setiausaha akhbar PM Lee menyatakan bahawa "perkara tersebut dikendalikan mahkamah dan Perdana Menteri akan terus mendapatkan nasihat guaman bagi pelbagai perkembangan (kes)."

Persidangan sebelum perbicaraan bagi kes PM Lee terhadap Encik Leong dijangka berlangsung pada 7 Jan.   

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan