Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki yang tampar pekerja SMRT dipenjara

Seorang lelaki yang menampar pekerja SMRT berusia 69 tahun di sebuah stesen kereta api, dijatuhi hukuman penjara tiga minggu pada Jumaat (30 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki yang tampar pekerja SMRT dipenjara

Stesen MRT Raffles Place di Singapura. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 30 Nov 2018 06:14PM Dikemas Kini : 30 Nov 2018 06:19PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang menampar pekerja SMRT, berusia 69 tahun, di sebuah stesen kereta api dijatuhi hukuman penjara tiga minggu pada Jumaat (30 Nov).

Shafuan Juraimi, 22 tahun, mengaku bersalah terhadap satu tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan pada Encik Gian Cheng Kuan, seorang duta perkhidmatan SMRT.

Mahkamah diberitahu bahawa Shafuan, yang bekerja sebagai seorang kakitangan pemindahan, sedang berada di Raffles Place pada 25 Jun untuk membungkus barangan di pejabat kliennya.

Shafuan dan dua lagi rakan setugasnya kemudian ke Stesen MRT Raffles Place untuk menaiki kereta api. Ketiga-tiganya membeli roti sandwic dan air minuman sebelum memasuki stesen berkenaan.

Sementara menunggu ketibaan kereta api yang menuju ke arah Pasir Ris, mereka mula memakan roti sandwic yang dibeli. Perbuatan itu melanggar peraturan SMRT yang melarang penumpang daripada makan atau minum di premis stesen kereta api, kata Timbalan Pendakwa Raya Tang Shangjun.

Encik Gian mendekati mereka dan berkata: "Maaf, makan tidak dibenarkan."

Mereka kemudian menyimpan makanan mereka dan tidak berkata apa-apa, menurut mahkamah. Namun, Shafuan membuka sebuah botol minuman untuk meminum air.

Encik Gian kemudian memberitahunya bahawa meminum air juga tidak dibenarkan di stesen kereta api.

TAMPAR PIPI KIRI ENCIK GIAN

Mendengarnya, Shafuan menampar pipi kiri Encik Gian dengan tangan kanannya.

Dia berkata: "Saya sangat haus. Kenapa saya tidak boleh minum air? Kalau saya mati, bagaimana?"

Encik Gian mengalami rasa sakit di bahagian pipinya dan mengadu mengalami lebam dan pening kepala, sedang ketiga-tiga individu itu menaiki kereta api yang tiba.

Mangsa diberikan cuti sakit selama dua hari dan Shafuan pula kemudian diberkas.

Pihak pendakwa raya hari ini (30 Nov) meminta agar Shafuan dijatuhi hukuman penjara selama tiga minggu, sambil menarik perhatian bahawa dia pernah didakwa atas beberapa kesalahan ganas sebelum ini. Selain itu, mangsa juga adalah seorang warga tua dan serangan itu dibuat tanpa provokasi.

Shafuan yang tidak diwakili seorang peguam, memberitahu mahkamah menerusi seorang pentafsir bahasa Melayu, bahawa dia menyesali perbuatannya dan ingin meminta maaf kepada mangsa.

"Saya berjanji kepada mahkamah bahawa saya tidak akan melakukan kesalahan lagi. Saya berjanji untuk berubah," katanya.

Hakim Daerah Mathew Joseph menjatuhkan tempoh hukuman penjara yang disarankan oleh pihak pendakwa raya ke atas Shafuan, dengan mengatakan bahawa mahkamah tidak akan membiarkan sesiapa untuk mengambil kesempatan terhadap para pegawai perkhidmatan awam. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan