Images
  • supreme court
    Gambar fail Mahkamah Tinggi Singapura.

Lelaki yang dibicarakan bagi 4 tuduhan rogol, tiba-tiba buang air besar dalam mahkamah

SINGAPURA: Seorang lelaki yang berdepan tuduhan rogol, tiba-tiba membuang air besar dalam seluarnya semasa hendak keluar dari mahkamah dan menuju ke tandas. Najis tersebut menyebabkan bilik mahkamah diselubungi bau busuk. Dalam ulasannya, hakim menyifatkan perbuatannya sebagai "berpura-pura tidak sihat".

Isham Kayubi, 49 tahun, dihadapkan ke mahkamah hari ini (14 Jan) atas empat pertuduhan rogol dan dua pertuduhan melakukan serangan seks ke atas dua mangsa berusia 14 tahun.

Semasa sebutan kes yang sama sebelum ini, iaitu pada bulan Ogos tahun lalu, Isham membuang air kecil dan menayangkan kemaluannya dalam mahkamah.

Hakim kemudian menangguhkan sesi tersebut dan Isham diarahkan menjalani pemeriksaan psikiatrik. Dia didapati tidak mengalami masalah mental.

Hari ini, sebutan kesnya tergendala selama lebih sejam setelah Isham berkata dia mahu ke tandas lalu membuang air besar dalam seluarnya.

Dia enggan menukar pakaian dan kembali ke mahkamah, diiringi para pegawai yang memakai pelitup dan sarung tangan. Isham kemudian duduk di atas kerusi yang dialas plastik.

Timbalan Pendakwa Raya James Chew berkata Isham perlu diberikan amaran agar tidak melakukan perbuatan-perbuatan yang menjejas prosiding mahkamah.

Hakim See Kee Oon dengan wajah suram kemudian berkata: "Saya juga ingin memastikan, agar ia betul-betul adil bagi tertuduh, bahawa dia tidak menunjukkan sebarang tanda mengalami masalah untuk mengawal proses membuang air."

Mahkamah diberitahu bahawa Isham tidak menunjukkan sebarang tanda mengalami masalah tersebut dan tiada bukti menunjukkannya.

"Sekarang kita terpaksa menunggu selama lebih sejam untuk meneruskan sesi perbicaraan hari ini," kata hakim.

"Sekalipun demikian, saya sedia bersangka baik dengan anda. Saya sudah meminta timbalan pendakwa raya supaya memastikan sekiranya terdapat masalah biologi yang perlu ditangani, baik menerusi perubatan, jika anda ada masalah mengawal proses membuang air. Saya tiada bukti mengenai perkara itu buat masa ini."

Apabila ditanya oleh perterjemah mahkamah sama ada dia mengaku bersalah atau mahu meneruskan perbicaraan, Isham yang tidak diwakili peguam hanya berdiam diri, seperti yang dilakukan dalam sesi sebutan pada tahun lalu.

"Kami akan meneruskan kes atas dasar dia mahu dibicarakan," kata hakim.
Menurut hakim, perbuatan Isham "jelas menghina mahkamah" dan berkata tuduhan-tuduhan yang relevan ke atasnya perlu dipertimbangkan.

Hakim juga meminta pegawai penjara untuk memeriksa sama ada gari pada tangan Isham mencukupi untuk "menghalangnya daripada mengulangi perbuatan lain seperti itu pada masa akan datang".

"Saya tidak faham bagaimana mungkin najis itu boleh terkena bajunya secara tidak sengaja. Ia nampak seolah-olah sengaja dilumurkan kecuali saya diberitahu sebaliknya," kata hakim.

DIDAKWA PERDAYA 2 REMAJA 14 TAHUN KE RUMAH UNTUK DIROGOL

Menurut kes yang dikemukakan pihak pendakwa, Isham bekerja sebagai seorang penghantar makanan, semasa dia melakukan "beberapa kesalahan seks" ke atas dua remaja dalam tempoh yang singkat.

Dia mengajak kedua-dua remaja berkenaan ke rumahnya, di mana dia merogol mereka dan memaksa mereka melakukan aksi seks untuk memuaskan nafsunya. Dia juga merakam proses tersebut, kata Timbalan Pendakwa Raya James Chew dan Jane Lim.

Dia dituduh merogol salah seorang daripada mangsanya itu sebanyak dua kali, pada 29 Oktober 2017 dan 3 November 2017. Ini setelah dia diperkenalkan kepada mangsa oleh seorang individu yang tidak dikenali, di kolong blok HDB teman lelaki mangsa.

Remaja itu bersetuju untuk membantu menjaga rumah Isham untuk menerima sebuah telefon bimbit percuma. Isham kemudian membawa mangsa pulang ke rumahnya menaiki motosikal.

Bagaimanapun, sebaik sampai ke rumah Isham, dia dikatakan memaksa remaja itu melakukan seks oral ke atasnya dan merogolnya. Isham juga mengancam untuk menghubungi rakan-rakannya untuk merogolnya secara beramai-ramai jika mangsa enggan melakukannya.

Isham merakam serangan seks itu melalui telefon bimbitnya dan memberitahu mangsa bahawa dia akan menyebarkan video-video itu jika mangsa memberitahu orang lain tentang insiden tersebut, sebelum menghantar mangsa pulang dan memberi wang S$20.

HAMPIRI MANGSA YANG SAMA BEBERAPA HARI KEMUDIAN

Isham kemudian menghampiri remaja yang sama sekali lagi pada bulan November 2017 sambil membawa sebatang objek kayu yang panjang.

Isham berkata dia mahu bercakap dengan mangsa mengenai insiden seks beberapa hari lalu, sebelum membawa mangsa pulang di mana dia merogol mangsa sekali lagi, menurut pihak pendakwa.

Mangsa kedua pula menerima kiriman teks daripada Isham pada bulan September 2017. Isham berkata dia pernah melihat mangsa di satu majlis sambutan hari lahir, tambah pihak pendakwa.

Isham kemudian menawarkan wang sebanyak S$150 kepada mangsa kedua itu untuk mengemas rumahnya. Isham membawa mangsa pulang ke rumahnya menaiki motosikal apabila mangsa bersetuju.

Dia merogol mangsa di rumahnya dan memaksa mangsa melakukan perbuatan seks bagi memuaskan nafsunya. Mangsa kedua juga diancam akan dirogol beramai-ramai jika beliau enggan.

Isham kemudian menghantar mangsa pulang dengan memberikannya topi keledar, fon telinga dan wang $20.

Pihak pendakwa berhasrat untuk menayangkan sebuah video bukti serangan seks tersebut yang diperolehi daripada telefon bimbit Isham serta bukti yang diperolehi daripada teman lelaki mangsa.

Bukti forensik dan DNA juga akan dikemukakan semasa sesi perbicaraan. Bukti-bukti itu menunjukkan kesan air mani yang menepati profil DNA Isham, yang diperolehi semasa pemeriksaan dijalankan ke atas mangsa pertama.

Sesi perbicaraan itu diteruskan pada sebelah petang, dengan hakim menggesa agar Isham mengganti pakaian semasa mahkamah direhatkan pada waktu makan tengah hari.

Isham juga melumurkan najisnya pada panel kaca dalam mahkamah semasa sesi perbicaraan. Hakim kelihatan prihatin dan bertanya kepada penterjemah wanita sama ada beliau mahu memakai pelitup.

Jika disabit kesalahan, Isham boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda atau dikenakan hukuman rotan bagi setiap tuduhan rogol. 

- CNA/NK/nk

Top