Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki warga Ukraine korban ke-38 COVID-19 di S'pura

Satu kes import COVID-19 yang berusia 34 tahun meninggal dunia di Singapura pada Ahad (1 Ogos) disebabkan komplikasi akibat virus itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki warga Ukraine korban ke-38 COVID-19 di S'pura

(Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 03 Aug 2021 07:55AM Dikemas Kini : 03 Aug 2021 07:56AM

SINGAPURA: Satu kes import COVID-19 yang berusia 34 tahun meninggal dunia di Singapura pada Ahad (1 Ogos) disebabkan komplikasi akibat virus itu.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (2 Ogos).

Lelaki warga Ukraine itu, yang belum divaksinasi, merupakan seorang anak kapal yang tiba di Singapura dengan menaiki sebuah kapal pada 29 Julai lalu.

"Beliau mengalami demam, batuk dan kelesuan pada 25 Julai dan kemudian sesak nafas pada 31 Julai," menurut MOH dalam kemas kini hariannya.

Beliau dibawa dari kapal itu ke Hospital Besar Singapura (SGH)pada Ahad dan disahkan dijangkiti COVID-19 pada hari yang sama.

Lelaki itu merupkan korban paling muda COVID-19 di Singapura. Secara keseluruhan, 38 orang meninggal dunia di Singapura akibat komplikasi daripada COVID-19.

106 KES TEMPATAN COVID-19

Singapura melaporkan 106 kes baru COVID-19 dalam masyarakat pada Isnin, termasuk 25 kes tanpa hubung kait dengan kes-kes terdahulu.

Sebanyak 65 kes berhubung kait kes-kes terdahulu dan sudah dikenakan kuarantin. Lagi 16 kes berhubung kait kes-kes sebelum ini dan dikesan menerusi ujian pemantauan.

Antara kes baru itu termasuk tujuh warga emas berusia 70 tahun dan ke atas yang belum divaksinasi atau sudah menerima satu dos vaksin dan berisiko menghidap penyakit serius, menurut MOH.

Lima kes import turut dilaporkan dan kesemuanya sudah dikenakan notis jangan keluar rumah atau diasingkan sejurus ketibaan. Tiga kes dikesan apabila mereka tiba di Singapura manakala lagi dua mengalami jangkitan semasa menjalani SHN atau pengasingan.

Secara keseluruhan, Singapura melaporkan 111 kes baru COVID-19 pada Isnin, jumlah paling rendah sejak 18 Julai.

7 KES DALAM KEADAAN KRITIKAL

Sebanyak 602 kes sedang menjalani rawatan di hospital. Kebanyakannya dalam keadaan baik dan di bawah pemantauan, menurut MOH.

Terdapat 36 kes jangkitan serius yang memerlukan bantuan oksigen tambahan dan tujuh berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

Empat daripada 43 kes itu sudah lengkap divaksinasi. Antara jumlah itu, tiga memerlukan bantuan oksigen tambahan manakala seorang lagi memerlukan jagaan ICU kerana mereka mengalami penyakit-penyakit lain.

Seramai 31 individu berusia 60 tahun dan ke atas, yang mana 28 daripadanya belum lagi menerima vaksin lengkap atau baru menerima satu dos vaksin sahaja, mengalami sakit teruk, menurut MOH.

10 KELOMPOK BARU

10 kelompok baru turut dilaporkan pada Isnin, dengan setiap satu mempunyai antara tiga dengan 17 kes. Terdapat 93 kelompok aktif setakat Isnin.

Lagi 24 kes ditambah ke dalam kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong/Pusat Makanan dan Pasar Hong Lim, menjadikannya 1,072 kes secara keseluruhan sekali gus kekal sebagai kelompok aktif terbesar di Singapura.

Tiga pasar dan pusat makanan - Chong Boon, Chong Pang dan Whampoa Drive - tidak lagi disenaraikan sebagai kelompok berhubung kait kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong.

62% PENDUDUK SUDAH LENGKAP DIVAKSINASI

Setakat Ahad, 62 peratus penduduk Singapura sudah selesai menjalani regimen penuh vaksin COVID-19 di bawah program vaksinasi kebangsaan. Sekitar 77 peratus penduduk sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

"Rejimen penuh merujuk kepada para individu yang sudah menerima kedua-dua dos vaksin atau satu dos bagi individu pulih yang sudah divaksin," menurut MOH.

Selain itu, 107,730 dos vaksin Sinovac diberikan setakat Ahad, merangkumi 74,935 indvidu.

"Terdapat bukti berterusan bahawa vaksinasi membantu mencegah jangkitan serius apabila seseorang dijangkiti," menurut MOH.

Sepanjang 28 hari lalu, 61 kes tempatan memerlukan bantuan oksigen tambahan, dimasukkan ke ICU atau meninggal dunia. 37 belum mendapatkan vaksin, 20 sudah menerima satu dos vaksin dan empat sudah lengkap divaksinasi, menurut MOH.

TREND KES TEMPATAN

Secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam masyarakat merosot daripada 1,021 kes pada minggu sebelumnya kepada 835 kes pada minggu lalu.

"Kita mungkin menyaksikan jumlah kes yang tinggi dalam beberapa hari akan datang sedang kita mempertingkatkan usaha untuk mengesannya bagi membendung penularan dalam masyarakat," menurut MOH.

Jumlah kes tanpa hubung kait dalam masyarakat meningkat daripada 133 kes pada minggu sebelumnya kepada 276 kes pada minggu lalu.

Selain itu, MOH sudah selesai mengendalikan ujian COVID-19 ke atas para penduduk di Blok 556 Ang Mo Kio Avenue 10. 11 orang diuji positif manakala lagi 520 diuji negatif. Satu keputusan ujian belum lagi diperolehi.

Setakat Isnin, Singapura melaporkan 65,213 kes COVI-19 secara keseluruhan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan