Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki warga Malaysia bunuh penyelianya di Terminal Feri Tanah Merah; buang mayat mangsa ke dalam longkang

Dengan dua minggu saja sebelum dia mendirikan rumahtangga dan tidak pula mempunyai simpanan untuk majlis perkahwinannya, seorang pekerja pembersihan tergamak menyerang penyelianya dengan alat pemotong rumput di Terminal Feri Tanah Merah dan meragut barang kemas mangsa dan melarikan diri ke Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki warga Malaysia bunuh penyelianya di Terminal Feri Tanah Merah; buang mayat mangsa ke dalam longkang

Ahmad Muin Yaacob. (Gambar: Ernest Chua/TODAY)

Diterbitkan : 17 Sep 2019 08:40PM Dikemas Kini : 18 Sep 2019 07:31AM

SINGAPURA: Dengan dua minggu saja sebelum dia mendirikan rumahtangga dan tidak pula mempunyai simpanan untuk majlis perkahwinannya, seorang pekerja pembersihan tergamak menyerang penyelianya dengan alat pemotong rumput di Terminal Feri Tanah Merah dan meragut barang kemas mangsa dan melarikan diri ke Malaysia.

Maklumat ini dibentangkan oleh pihak pendakwa pada Selasa (17 Sep) semasa memulakan perbicaraan terhadap warga Malaysia Ahmad Muin Yaacob 26 tahun.

Dia dituduh menikam penyelianya, Maimunah Awang 54 tahun, pada 24 Nov 2016 dalam sebuah bilik stor di terminal berkenaan sebelum menanggalkan barang kemas mangsa dan membuang mayatnya ke dalam sebuah longkang dan melarikan diri ke Malaysia di mana dia berkahwin seperti yang dirancangkan.

Mahkamah diberitahu bahawa Ahmad Muin bekerja sebagai seorang pekerja pembersihan dengan syarikat CSP Maintenance sejak Oktober 2016 dengan gaji S$1,100 sebulan di bawah penyeliaan Cik Maimunah.

Menurut pihak pendakwa, mangsa mempunyai hubungan yang baik dengan keempat-empat pekerja pembersihan di bawah penyeliaannya dan kerap meminjamkan mereka wang dan membelikan makanan untuk mereka.

Mangsa juga meminjamkan wang kepada Ahmad Muin dan membenarkan tertuduh tidur dalam bilik stor berkenaan kerana berasa simpati selepas mendapat tahu bahawa tertuduh tidak mempunyai tempat tinggal di Singapura.

Malangnya, "tertuduh membalas budi mangsa dengan membunuhnya," kata pihak pendakwa.

Beberapa minggu sebelum berlaku insiden tersebut, eksekutif operasi CSP Roslan Tamain memberitahu Ahmad Muin bahawa beliau akan membatalkan permit kerja dan memberhentikan tertuduh bagi mengurangkan kos.

Ahmad Muin dijadual melangsungkan majlis persandingannya di Kelantan pada 9 Disember 2016 dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada 28 November 2016 bagi persiapan majlis tersebut.

Dia merayu kepada Encik Roslan untuk membenarkannya terus bekerja sehingga dia berjaya mendapatkan pekerjaan lain kerana dia memerlukan wang untuk membiayai majlis persandingannya.

Selepas permintaannya dipenuhi, dia mula meminjam wang daripada rakan-rakan sekerja dan Cik Maimunah dan dia sekali lagi merayu kepada Encik Roslan untuk membenarkannya terus bekerja di sini selepas Encik Roslan mengarahkannya berhenti bekerja pada 22 Nov 2016.

Dua hari kemudian, Ahmad Muin menyerang Cik Maimunah ketika mereka berada di dalam bilik stor tersebut.

Ahmad Muin meragut dua rantai leher dan dua gelang emas daripada penyelianya itu dan menarik keluar mangsa ke tepi longkang berdekatan dengan bilik stor berkenaan.

Dia kemudian menolak mangsa ke dalam longkang tersebut.

Dia meninggalkan tempat kejadian bersama barang kemas mangsa dan telefon bimbit Samsung Note 4.

Dia melarikan diri ke Johor dengan menaiki sebuah teksi dan bas.

Dia menjual salah satu gelang emas itu pada harga RM1,000 (S$330) dan menggadaikan barang kemas yang lain pada harga RM7,500 (S$2,465).

Ahmad Muin mengadakan majlis persandingannya seperti yang dirancangkan pada 9 Disember 2016.

Dia bagaimanapun diberkas Polis Diraja Malaysia sekitar seminggu kemudian.

Dia dibawa ke Singapura dan diberkas atas tuduhan membunuh pada 19 Disember 2016.

Perbicaraan kesnya diteruskan dan pihak pendakwa akan membentangkan bukti daripada 56 saksi.

Jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman mati.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan