Images
  • dadah
    2,898 gram ganja dan 125 gram dadah Ice ditemui di dalam kereta yang dipandu warga M'sia. (Gambar: ICA/CNB)

Lelaki warga M'sia ditangkap, dadah bernilai S$41,000 dirampas di Pusat Pemeriksaan Tuas

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Malaysia berusia 32 tahun ditangkap selepas para pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menjumpai dadah bernilai sekitar S$41,000 di dalam sebuah kereta yang dipandunya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan secara bersama dengan Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Khamis (13 Feb), ICA menyatakan para pegawainya menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang berdaftar di Malaysia yang tiba di Singapura menerusi Pusat Pemeriksaan Tuas pada sekitar 6.50 pagi pada 6 Februari.

Semasa pemeriksaan itu, para pegawai menjumpai beberapa bungkusan yang disembunyikan di dalam tempat duduk di bahagian belakang kereta tersebut.

Bungkusan-bungkusan itu mengandungi 2,898 gram ganja dan 125 gram dadah Ice, yang secara keseluruhannya dianggarkan bernilai sekitar S$41,000.

Jumlah ganja yang dirampas itu cukup untuk memenuhi ketagihan sekitar 410 penyalahguna dadah selama seminggu, menurut kenyataan media itu.

Lelaki berkenaan ditangkap dan kes itu kemudian diserahkan kepada CNB untuk siasatan lanjut.

"Usaha melindungi sempadan-sempadan Singapura kekal menjadi keutamaan ICA. Kaedah penyembunyian sama yang digunakan oleh para penyeludup kontraban mungkin digunakan oleh para pengganas untuk menyeludup senjata api dan bahan letupan bagi melakukan serangan di Singapura.

"ICA akan terus menjalankan pemeriksaan keselamatan ke atas para penumpang, kargo dan kenderaan di pusat-pusat pemeriksaan bagi mencegah percubaan untuk menyeludup orang, dadah, senjata, bahan letupan ataupun barangan kontraban yang tidak diingini melalui sempadan kami," menurut kenyataan itu lagi.

- CNA/AI/ai

Top