Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki, wanita disiasat polis, dituduh hasut orang ramai banjiri hotline bantuan COVID-19

Lelak dan wanita itu dituduh menghasut lebih 2,000 anggota kumpulan Telegram untuk banjiri talian bantuan COVID-19, semata-mata agar pandangan mereka berhubung langkah berkaitan vaksin disampaikan kepada pihak atasan.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki, wanita disiasat polis, dituduh hasut orang ramai banjiri hotline bantuan COVID-19

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 25 Nov 2021 05:39PM Dikemas Kini : 25 Nov 2021 05:45PM

SINGAPURA: Polis sedang menyiasat seorang lelaki berusia 48 tahun dan seorang wanita, 45 tahun, atas dakwaan pelibatan mereka dalam menghasut orang lain untuk menghubungi dan membanjiri talian hotline awam yang membantu orang ramai berhubung isu COVID-19.

Talian itu termasuk talian hotline mengenai mutu perkhidmatan atau maklum balas Kementerian Kesihatan (MOH), hotline Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan hotline Penjagaan Nasional 24 jam, yang menyediakan sokongan emosi kepada orang ramai di tengah-tengah pandemik itu.

Menurut satu kenyataan polis pada Khamis (25 Nov), pihaknya menerima aduan pada 18 Oktober yang mendakwa kedua-dua individu itu, yang nama mereka tidak didedahkan, telah menghasut lebih 2,000 anggota sebuah kumpulan sembang Telegram untuk membanjiri talian hotline awam dengan memberi maklum balas mereka mengenai langkah COVID-19 lebih ketat di tempat awam bagi orang-orang yang tidak divaksin.

“Mesej itu kononnya mendakwa Pemerintah sedang meminta 'maklum balas mengenai langkah-langkah baru', dan orang ramai harus menghubungi talian hotline MOH, MSF dan Jagaan Nasional, serta menuntut maklum balas mereka dikemukakan kepada pengurus pusat panggilan masing-masing,” kata polis.

Anggota kumpulan Telegram berkenaan juga digalakkan untuk menghubungi lagi talian hotline tersebut pada keesokan harinya untuk mendapatkan maklum balas mengenai panggilan yang mereka buat sebelum ini.

Polis menyatakan, perbuatan membanjiri talian hotline awam itu berpotensi menghalang kerja penjawat awam.

Oleh itu, setelah berunding dengan Pejabat Peguam Negara (AGC), pihaknya sedang menyiasat pasangan itu atas dakwaan kesalahan bersubahat dengan menghasut orang ramai menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugas awam mereka.

Mereka yang didapati bersalah atas tuduhan itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan, didenda tidak melebihi S$2,500, atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan bersubahat dengan melakukan kesalahan sedemikian oleh orang awam secara amnya, atau oleh mana-mana bilangan atau kumpulan orang melebihi 10, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, didenda, atau kedua-duanya.

Polis menambah pihaknya tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap orang tidak bertanggungjawab yang mengganggu dan membanjiri operasi pusat panggilan penting atau menggalakkan orang lain berbuat demikian.

“Talian-talian hotline awam ini adalah saluran penting bagi rakyat Singapura untuk mendapatkan bantuan, dan lonjakan panggilan yang remeh dan berniat jahat akan memanjangkan masa menunggu dan mengecewakan pemanggil yang benar-benar memerlukan bantuan penting,” tambahnya.

“Pesalah akan dikenakan tindakan tegas dan berat mengikut undang-undang.”

Meskipun polis tidak mendedahkan nama kedua-dua individu terbabit, pemeriksaan yang dilakukan Mediacorp ke atas saluran Telegram kumpulan Healing the Divide mendapati terdapat pengumuman pada 11 Oktober yang menggalakkan anggotanya menghubungi tiga talian hotline berkenaan.

Cik Iris Koh, 45 tahun, adalah pengasas kumpulan itu. Laman kumpulan itu menyatakan bahawa ia menghimpunkan rakyat Singapura yang prihatin terhadap vaksin COVID-19.

Petang semalam, Koh melalui saluran Telegram memberitahu bahawa dia akan ke balai polis Bedok pada 10.30 pagi Khamis untuk disiasat.

Pada pagi tadi, Koh dan suaminya memuat naik gambar mereka di luar balai polis.

Selepas disiasat, Koh memaklumkan saluran itu dengan menulis: “Saya (sudah) keluar. Mereka sedang menyiasat saya atas komen 'banjir' itu.

“Mereka mahu mengambil telefon saya. Saya berkata mereka perlu menghubungi peguam saya jika mahu mengambil apa-apa sahaja daripada saya.”

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan