Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki tikam rakan sewa flat di Teck Whye didapati bersalah atas tuduhan membunuh

Seorang lelaki yang menikam teman satu flat pada bahagian jantung mangsa untuk "mengajarnya" selepas bertengkar berhubung sewa flat tersebut didapati bersalah pada Selasa (9 Nov) atas tuduhan membunuh.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki tikam rakan sewa flat di Teck Whye didapati bersalah atas tuduhan membunuh

Mohammad Rosli Abdul Rahim di Mahkamah Negara pada 18 Ogos 2017. (Gambar: TODAY/Robin Choo)

Diterbitkan : 09 Nov 2021 08:49PM Dikemas Kini : 09 Nov 2021 08:59PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang menikam teman satu flat pada bahagian jantung mangsa untuk "mengajarnya" selepas bertengkar berhubung sewa flat tersebut didapati bersalah pada Selasa (9 Nov) atas tuduhan membunuh.

Mohammad Rosli Abdul Rahim didapati bersalah atas tuduhan membunuh Mohammad Roslan Zaini pada 16 Ogos 2017 sekitar 4.30 pagi di sebuah flat di Teck Whye Crescent yang dikongsi mereka berdua.

Rosli berdepan dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Menurut dokumen mahkamah, pihak pendakwa mendedahkan bahawa Rosli mengambil sebilah pisau dari dapur dan menikam Encik Roslan dengan niat untuk "mengajarnya".

Encik Roslan yang berlari keluar dari unit tersebut kemudian ditemui terbaring di atas rumput tidak jauh daripada blok berkenaan. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik pada 4.55 pagi.

Menurut laporan bedah siasat, punca kematian disebabkan oleh tikaman pada bahagian atas dada mangsa yang membawa maut.

Encik Roslan turut mengalami dua lagi kesan tikaman, satu di bahagian tengah lengan kanannya dan satu lagi di bahagian tengah paha kanannya. Terdapat juga luka pada lengan kanan, ibu jari kanan dan kiri.

Pihak pendakwa berhujah bahawa Rosli berdendam terhadap Encik Roslan kerana merasakan Allahyarham menipunya dengan meminta duit sewa yang sudahpun dilunaskannya.

Mahkamah juga diberitahu bahawa Rosli mengesyaki mangsa merancang untuk menyebabkannya ditangkap supaya dapat mengusirnya daripada flat tersebut. Antara rungutan lain termasuk bagaimana mangsa tidak melayani kawan rapat yang juga bekas teman wanita tertuduh, Cik Rohazlin Jumar, dengan baik.

Peguam bela berhujah bahawa Rosli tidak bersalah atas tuduhan membunuh kerana tikaman yang membawa maut itu berlaku "secara tidak sengaja akibat tersasar".

Peguam bela menegaskan bahawa tertuduh berhak untuk membela diri atas dasar membangkitkan kemarahan secara mengejut memandangkan tikaman itu berlaku apabila Rosli "hilang kawalan diri" setelah mengambil dua pil sedatif Nitrazepam.

Pihak pendakwa berhujah tertuduh menikam Encik Roslan di dada dengan pisau secara sengaja, sambil merujuk kepada pilihan senjata, dengan Rosli sendiri mengaku bahawa dia dengan sengaja mencederakan mangsa menggunakan pisau itu di samping kehadiran motif untuk menyebabkan kecederaan yang boleh membawa maut pada mangsa.

Pihak peguam bela bagaimanapun menegaskan bahawa Encik Roslan mungkin mengalami tikaman yang membawa maut itu ketika cuba memintas tikaman tersebut sedang tertuduh cuba menikam bahunya.

Pihak pembela juga cuba menimbulkan keraguan luka itu sengaja ditimbulkan.

Peguam bela turut merujuk kepada tahap pencahayaan yang teruk dalam unit berkenaan, "keadaan kelam-kabut" sewaktu berlaku serangan, pendirian Rosli yang bertegas bahawa niatnya adalah untuk "mengajar" mangsa semasa dia mengambil pisau, serta faktor psikiatri yang menjejas tertuduh ketika itu.

HAKIM: TERTUDUH MEMILIH SENJATA PALING BERBAHAYA

Dalam keputusannya, Hakim Dedar Singh Gill menolak hujah yang mendakwa bahawa luka yang membawa maut itu dilakukan secara tidak sengaja. Hakim berkata terdapat pencahayaan yang mencukupi di dalam unit tersebut dan beliau turut menarik perhatian bahawa Rosli telah memilih "alat yang paling berbahaya" dari dapur dan tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang membawa maut.

Sejurus sebelum serangan itu berlaku, mangsa berkelakuan agresif terhadap tertuduh semasa memintanya membayar sewa. Mangsa juga telah mengeluarkan kata-kata kesat dan ancaman terhadap tertuduh.

Menurut Hakim Gill, beliau tidak fikir penghinaan yang diungkap Encik Roslan mengenai ibu tertuduh "cukup serius".

"Penghinaan terhadap ibu tertuduh terlalu biasa untuk menyebabkan seseorang yang waras untuk hilang kawalan diri dan keadaan yang disebutkan itu tidak menunjukkan bahawa penghinaan si mangsa terhadap ibu tertuduh boleh dianggap 'keterlaluan' sehingga menyebabkan tertuduh bertindak sedemikian," tambah Hakim Gill. 

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan