Images
  • sharizad stalker
    Mohamed Sharizad Mohamed Samsuri (tengah) menyamar sebagai wanita berbeza di Facebook untuk mengganggu mangsanya. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/ TODAY)

Lelaki sudah berkahwin dijel 19 minggu; menguntit, muat naik gambar wanita ke forum Sammyboy

SINGAPURA: Tergoda dengan seorang wanita yang menetap di blok HDB yang sama dengan neneknya, Mohamed Sharizad Mohamed Samsuri mencuba pelbagai cara untuk mendekati mangsa itu.

Sharizad menyamar diri sebagai beberapa orang wanita di Facebook untuk mengganggu mangsa dan menghantarnya gambar-gambar yang kononnya adalah pakaian dalam mangsa.

Dia akhirnya berhasil mendapatkan nombor telefon wanita itu dan berulang kali menghubunginya.

Bahkan selepas mangsa membuat aduan polis, Sharizad terus menghantar pesanan mesej WhatsApp untuk mengancam wanita itu, menggunakan panggilan nama yang menjatuhkan maruah mangsa dan meminta beliau melakukan seks oral ke atasnya.

Atas kesalahannya yang "tanpa henti" mengganggu dan mengekori pergerakan mangsa buat jangka waktu selama kira-kira lapan bulan, Hakim Daerah Marvin Bay menjatuhkan hukuman penjara selama 19 minggu - atau sekitar lima bulan - ke atas Sharizad pada Selasa (4 Ogos).

Lelaki berusia 38 tahun, yang sudah berumahtangga dan bekerja sebagai seorang teknisyen itu mengaku bersalah bulan lalu atas satu tuduhan menguntit di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan dan tuduhan kedua memiliki 732 filem lucah.

Kesemua filem lucah itu dimuat turun Sharizad daripada laman-laman web pornografi bagi tontonan peribadi.

Satu lagi tuduhan menguntit turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman. Ini berkaitan dengan hakikat bahawa dia memuat naik gambar-gambar mangsa dan pakaian dalam wanita itu di forum bertemakan seks, Sammyforum, pada 2012.

SEMAKIN MENJADI-JADI MENGEKORI MANGSA

Polis pertama kali menyoal siasat Sharizad pada Julai 2017 selepas mangsa memfailkan tiga aduan polis kerana perbuatan menguntit itu menjadi bertambah teruk.

Sekitar April 2017, Shariza membuka satu lagi akaun palsu Facebook, kali ini dengan menggunakan nama salah seorang rakan mangsa. Dia kemudian menghantarkan permintaan untuk berkawan dengan mangsa di Facebook dan meminta nombor telefon bimbit wanita berkenaan dengan berhelah kononnya dia sudah hilang nombornya.

Wanita itu terpedaya dengan muslihat Sharizad dan memberikan nombor telefonnya. Dia kemudian menghubungi mangsa dua kali dengan menggunakan telefon di tempat kerjanya serta telefon berbayar di tempat awam.

Pada kali pertama, Sharizad menyebut nama mangsa dan memberitahunya bahawa dia sedang "menghidu seluar dalam mangsa". Wanita itu memarahi Sharizad dan memberinya amaran bahawa beliau akan membuat aduan polis tetapi dia terus memberitahu mangsa bahawa beliau seksi.

Buat kali kedua pula, mangsa mengecam suara Sharizad dan dengan segera menggantung panggilan telefon.

Namun, lelaki itu terus menghubunginya dan setelah beberapa panggilan, wanita itu bertanya siapakah pemanggil panggilan tersebut. Sharizad berkata dia adalah orang yang menguntit mangsa dan dia mempunyai gambar-gambar bogel mangsa.

Sharizad mengancam akan memuat naik gambar-gambar tersebut ke lelaman media sosial sekiranya wanita berkenaan tidak berjumpa dengannya tetapi mangsa membalas dengan berkata bahawa perbuatan lelaki itu memalukan dan beliau sudahpun membuat aduan polis terhadapnya.

Antara 12 hingga 14 Jun 2017, Sharizad menghantarkan beberapa pesanan mesej melalui WhatsApp kepada wanita itu untuk mengancam dan mengganggunya.

Ini termasuk satu mesej yang berbunyi: "Saya akan memberikan anda semua koleksi saya tentang anda... semua video dan gambar anda, segala-galanya... Melainkan anda bertemu dengan saya hanya sekali sahaja".

Akhir sekali, lelaki itu memberitahu mangsa bahawa beliau mempunyai setengah jam untuk memberinya apa yang dia mahukan atau beliau "akan menyesal seumur hidup".

Sharizad juga mengancam akan memuat naik video-video bogel mangsa serta alamat, gambar, nombor telefon bimbit dan butiran peribadi secara online dengan kapsyen yang mengatakan bahawa mangsa menawarkan khidmat seks.

Apabila polis mula menyoal siasat Sharizad, dia menafikan tuduhan-tuduhan itu dan hanya mengakuinya sekitar lapan bulan kemudian bahawa dia melakukan kesalahan-kesalahan itu.

Bagi kesalahan menguntit, dia boleh dipenjara sehingga setahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan memiliki filem lucah, dia boleh didenda sehingga S$500 bagi setiap filem, dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.  

- CNA/FZ/fz

Top