Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki S'pura didenda S$5,000; benarkan warga asing guna akaun Foodpanda, Deliveroo untuk hantar makanan

Seorang lelaki warga Singapura berdaftar dengan syarikat penghantaran makanan Foodpanda dan Deliveroo tetapi  membenarkan seorang rakyat Malaysia untuk melakukan pekerjaan itu, dan membahagikan hasil tersebut bersamanya serta seorang lagi orang tengah. 

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki S'pura didenda S$5,000; benarkan warga asing guna akaun Foodpanda, Deliveroo untuk hantar makanan

Gambar fail seorang penghantar makanan Foodpanda menunggang basikal (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 19 Mar 2020 05:36PM Dikemas Kini : 19 Mar 2020 05:39PM

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Singapura berdaftar dengan syarikat penghantaran makanan Foodpanda dan Deliveroo tetapi membenarkan seorang rakyat Malaysia untuk melakukan pekerjaan itu, dan membahagikan hasil tersebut bersamanya serta seorang lagi orang tengah.

Meskipun tahu bahawa rakyat Malaysia tidak boleh mendaftarkan diri bagi akaun sedemikian di Singapura, Reno Nasori membantu warga asing itu untuk bekerja sebagai penghantar makanan tanpa pas kerja yang sah.

Reno, 34 tahun, didenda S$5,000 pada Khamis (19 Mac) atas kesalahan bersubahat dengan rakyat Malaysia itu bekerja sendiri tanpa pas kerja yang sah.

Mahkamah diberitahu Reno mendaftarkan diri bagi satu akaun penghantaran di bawah Foodpanda pada Disember 2018 dan menghantar makanan secara sambilan.

Beberapa bulan kemudian, dia bertemu seorang wanita bernama Nor Afidah dan membantunya untuk mendaftarkan akaun di bawah Foodpanda.

Reno memberi Nor Afidah butiran log masuknya dan wanita itu menggunakan akaun lelaki tersebut untuk menjalankan kerja-kerja penghantaran, kata pendakwa raya Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Jason Chua.

Hasil pendapatan dimasukkan ke dalam akaun bank Reno dan dia membahagikan wang tunai tersebut bersama Nor Afidah.

Reno kemudian mendaftarkan dua lagi akaun di bawah Foodpanda dan dua lagi akaun di bawah Deliveroo. Dia memberikan butiran log masuk kepada Nor Afidah atas permintaan wanita itu.

PASANGAN ATUR RANCANGAN, BAWA MASUK LEBIH RAMAI PEKERJA PENGHANTARAN

Kedua-dua Reno dan Nor Afidah mengatur rancangan untuk menggunakan akaun-akaun tersebut - dengan Reno menempah slot jadual kerja setiap minggu dengan kedua-dua syarikat penghantaran makanan itu dan memberikanmaklumatnya kepada Nor Afidah.

Nor Afidah memadankan pekerja penghantar bagi setiap akaun dengan membayar mereka antara S$6 hingga S$6.50 bagi sekurang-kurangnya dua penghantaran yang dilakukan dalam sejam.

Bagi dua penghantaran yang dibuat dalam sejam, Reno menerima S$12 hingga S$13 daripada Foodpanda serta Deliveroo. Dia menerima S$2 hingga S$3 sejam untuk setiap seorang pekerja penghantaran.

Berdasarkan dokumen mahkamah, Reno memperolehi pendapat sekitar S$500, dari awal April 2019 hingga Mei 2019.

Pada sekitar April 2019, Daeng Muhammad Wafiq Aminuldin, seorang warga Malaysia terbaca satu catatan di Facebook oleh Nor Afidah yang mengiklankan 'jawatan' kosong sebagai pekerja penghantaran makanan.

Iklan itu menyatakan pekerja berkenaan akan bekerja empat hari seminggu menghantar makanan bagi Foodpanda dan akan dibayar S$10 setiap jam.

Wafiq mengambil kerja kosong itu pada 29 April 2019. Dia berurusan dengan kedua-dua Nor Afidah da Reno dengan Reno dianggap sebagai 'bos'.

Reno tahu bahawa rakyat Malaysia tidak boleh berdaftar bagi akaun Foodpanda tetapi membenarkan Wafiq untuk menggunakan akaun-akaunnya dengan memberi lelaki itu butiran log masuk.

Wafiq mempunyai akses kepada dua akaun, setiap satu daripada Foodpanda dan Deliveroo, tetapi hanya menggunakan satu akaun bagi pesanan penghantaran makanan di Hab Ang Mo Kio, Toa Payoh dan Upper Thomson Road.

Wafiq bekerja hampir 12 jam setiap hari, melakukan kira-kira 24 penghantaran sehari dan menerima wang tunai S$450 daripada Reno bagi kerja-kerja yang dilakukan antara 29 April 2019 hingga 7 Mei 2019.

MOM TERIMA MAKLUMAT, JALANKAN SIASATAN

MOM menjalankan siasatan pada 25 April 2019 setelah menerima makluman tentang kemungkinan berlakunya pencabulan undang-undang di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing.

Ia mendapati Wafiq hanya mempunyai pas lawatan sosial dan tidak dibenarkan bekerja di Singapura. Dia juga pernah disabit kesalahan di mahkamah dan didenda S$3,000.

Reno boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$20,000 atau kedua-duanya sekali. Dokumen mahkamah tidak menyatakan sama ada sebarang tindakan sudahpun diambil terhadap Nor Afidah.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan