Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki S'pura antara yang terselamat dalam gempa-tsunami Palu

Seorang rakyat Singapura yang berada di Indonesia bagi satu pertandingan sukan luncur angin antara mereka yang menyaksikan sendiri tsunami dan gempa bumi kuat melanda pulau Sulawesi pada Jumaat (28 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki S'pura antara yang terselamat dalam gempa-tsunami Palu

Encik Ng terselamat dari gempa-tsunami yang melanda Sulawesi pada 28 Sep. (Gambar: Ng Kok Choong)

Diterbitkan : 01 Oct 2018 10:06AM Dikemas Kini : 01 Oct 2018 11:38PM

SINGAPURA: Seorang rakyat Singapura yang berada di Indonesia bagi satu pertandingan sukan luncur angin antara mereka yang menyaksikan sendiri tsunami dan gempa bumi kuat melanda pulau Sulawesi pada Jumaat (28 Sep).

Encik Ng Kok Choong, seorang pesara berusia 53 tahun, berada di Palu untuk mengambil bahagian dalam satu pertandingan sukan luncur angin. Ketika baru sahaja meninggalkan Hotel Mercure, tempat di mana beliau menginap, "bumi tiba-tiba menggoncang dengan kuat sekali".

"Saya terjatuh dan tidak dapat mengimbangi diri saya. Saya bergolek di atas tanah dan saya melihat satu pedati kuda juga jatuh ke tanah," kata Encik Ng yang cuba memberi gambaran detik-detik ketika gempa bumi baru melanda pulau itu. Sekurang-kurangnya 832 maut sejauh ini.

"Saya melihat hotel bergegar seperti agar-agar, habuk menyelimuti udara dan tiba-tiba, hotel runtuh," cerita Encik Ng. Beliau bersama temannya, Francois, berada hanya 50 meter dari Hotel Mercure ketika bangunan itu runtuh.

(Gambar-gambar: Ng Kok Choong)

Seolah-olah jatuh ditimpa tangga, Encik Ng menyedari laut berdekatan hotelnya menjadi berombak dan gelombang semakin tinggi - satu isyarat tsunami bakal membadai kawasan itu.

"SAYA FIKIR BELIAU AKAN MATI"

Untuk melarikan diri daripada tsunami yang bakal melanda, kedua-dua lelaki itu mencari tempat yang lebih tinggi. Mereka kembali ke tempat runtuhan Hotel Mercure. Di situlah mereka bertemu dengan seorang kanak-kanak bersama ibunya yang terperangkap di bawah runtuhan hotel.

"Mereka menangis dan kami berlari ke arah mereka untuk cuba membantu mereka. Kami berjaya menarik keluar budak perempuan itu tetapi ibunya masih terperangkap," kata Encik Ng, sambil menambah bahawa beliau dapat melihat tsunami semakin menghampiri kawasan tersebut.

"Teman saya mengangkat budak perempuan itu dan berlari menuju arah yang bertentangan dengan tsunami. Dia memanjat sebatang pokok dengan kanak-kanak itu dan ayahnya," katanya. "Si ibu tidak dapat ditolong."

Pada ketika itu, keadaan sangat "huru-hara dan menakutkan", angin bertiup kencang, gelombang-gelombang besar membadai kawasan itu dan bangunan-bangunan pula bergegar.

Encik Ng berjaya mencari tempat yang lebih tinggi dan beliau tunggu di tempat itu sehingga tsunami surut - ia mengambil masa sekitar 30 minit.

Selepas beliau memastikan keadaan sudah selamat, beliau kembali ke tempat di mana ibu kepada kanak-kanak yang ditemuinya sebelum ini masih terperangkap. Beliau terdengar wanita itu meminta tolong dan meraung kesakitan kerana kakinya dihempap konkrit.

"Saya cuba mengalihkan konkrit itu tetapi gagal. Beliau terperangkap di bawahnya selama sekitar satu atau dua jam sehingga beberapa warga tempatan lain tampil untuk membantu. Kami akhirnya berjaya menyelamatkan wanita itu."

Rakan Encik Ng bersama budak perempuan yang terselamat. 

DIBANTU PINDAH DARI PALU

Tidak lama selepas itu, Encik Ng dibawa ke sebuah pusat kecemasan yang dibangunkan penduduk tempatan, di mana beliau akhirnya bertemu semula dengan Francois dan kanak-kanak berkenaan.

Pusat itu menyediakan air dan tilam bagi sekitar 40 orang untuk berehat.

Penganjur pertandingan sukan luncur berjaya mengesan Encik Ng dan Francois, dan membawa mereka ke sebuah lapangan di mana mereka diarahkan untuk tetap berada di situ sehingga terbit matahari.

"Gegaran dapat dirasakan sepanjang malam itu," kata Encik Ng.

Beliau menambah, pada awalnya beliau tidak dapat menghubungi keluarga dek sambungan talian yang terjejas dalam insiden tersebut. Namun, sebaik sahaja beliau berjaya menghubungi isterinya, beliau segera menyuruhnya memaklumkan Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) tentang keadaannya.

Pada keesokan harinya, Encik Ng cuba untuk mencari pasport miliknya di tapak Hotel Mercure.

"Sepanjang perjalanan, saya melihat jalan raya dekat dengan pantai musnah, pondok-pondok sudah dibadai ombak, bangunan runtuh dan serpihan di mana-mana," katanya.

Kawasan di sekitar Palu selepas kejadian. 

Beliau menaiki hingga ke lantai empat bangunan yang sudah rosak itu dengan menaiki satu tangga, memecahkan tingkap menggunakan penukul dan berjaya mendapatkan semula barang-barang serta pasportnya.

Dengan bantuan pihak penganjur pertandingan sukan luncur angin, pasukan udara Indonesia mengaturkan supaya Encik Ng dan mereka yang lain untuk berpindah dari Palu.

Mereka menaiki sebuah pesawat tentera di lapangan terbang domestik pada sekitar 2.00 petang menuju ke Makassar, dan kemudian ke Jakarta.

"Lapangan terbang itu tidak dibuka bagi penerbangan-penerbangan komersil kerana menara kawalan sudah runtuh," katanya.

Gambar Encik Ng, Francois dan seorang anggota kumpulannya, Gleen, yang dipercayai hilang. 

Setibanya Encik Ng di Jakarta, beliau menempah tiket penerbangan untuk kembali ke Singapura. Beliau selamat pulang semalam, pada jam 12.30 tengah hari.

"Saya gembira dapat bertemu dengan isteri saya dan pulang ke rumah," katanya.

Beliau mendapat tahu bahawa lima orang daripada pasukan sukan luncur udaranya dilaporkan hilang.

"Ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Saya sedar tiada apa yang boleh dilakukan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi gempa seperti ini," katanya ketika mengimbas kembali tentang peristiwa yang dialaminya.

"Saya rasa anda boleh pelajari apa sahaja tentang gempa bumi, tetapi saat ia melanda, gegarannya begitu kuat dan anda tidak akan dapat melarikan diri.

"Saya beruntung kerana berada di luar hotel." 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan