Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki PR S'pura 53 tahun didakwa langgar peraturan COVID-19; tawar khidmat kongsi kereta

Seorang lelaki didakwa pada Khamis (28 Mei) kerana melanggar peraturan COVID-19 dengan meninggalkan rumahnya untuk menawarkan khidmat kongsi kereta dan melakukan dua lagi kesalahan trafik.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki PR S'pura 53 tahun didakwa langgar peraturan COVID-19; tawar khidmat kongsi kereta

Ng Chiang Huat di Handy Road pada 23 Apr. (Gambar: LTA)

Diterbitkan : 28 May 2020 02:29PM Dikemas Kini : 28 May 2020 02:30PM

SINGAPURA: Seorang lelaki didakwa pada Khamis (28 Mei) kerana melanggar peraturan COVID-19 dengan meninggalkan rumahnya untuk menawarkan khidmat kongsi kereta dan melakukan dua lagi kesalahan trafik.

Ng Chiang Huat, seorang Penduduk Tetap (PR) Singapura berusia 53 tahun didakwa dengan satu tuduhan keluar rumah tanpa alasan yang munasabah di bawah Akta COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara).

Dia juga dikenakan satu tuduhan bagi setiap kesalahan memandu tanpa perlindungan insurans dan tanpa lesen memandu untuk menawarkan khidmat sedemikian secara sah.

Ng dituduh menawarkan khidmat kongsi kereta sekitar 10.45 pagi pada 23 Apr di Handy Road.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan dalam kenyataan yang dikeluarkan pada bulan lalu bahawa pihaknya menahan dua pemandu dan merampas kereta mereka semasa menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap para pemandu yang masih menawarkan khidmat kongsi kereta semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Salah seorang daripada mereka ialah Ng. Kenyataan LTA itu turut memaparkan gambarnya dengan kenderaannya dihentikan di tepi jalan dengan dua pegawai LTA di tempat kejadian.

LTA turut mengumumkan bahawa khidmat kongsi kereta, termasuk khidmat yang sudah ditempah tidak dibenarkan semasa tempoh 'circuit breaker'.

"Meskipun para pengendali komersil sudah menggantung khidmat kongsi kereta, LTA sedia maklum bahawa sesetengah pemandu, seperti dua pemandu yang ditangkap itu, tetap menawarkan khidmat tersebut menerusi platform kiriman mesej," menurut penguasa itu.

Ia menambah bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab seumpama itu boleh membahayakan kesihatan para pemandu, penumpang dan anggota keluarga mereka dan mensia-siakan usaha Singapura untuk membendung penularan COVID-19.

Orang ramai yang ternampak khidmat sedemikian ditawarkan harus memaklumkannya kepada pihak berkuasa menerusi portal OneMotoring.

Ng merancang untuk mengaku bersalah dan dia akan kembali ke mahkamah pada bulan depan untuk berbuat demikian.

Atas kesalahan melanggar peraturan COVID-19, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.

Atas kesalahan memandu tanpa lesen untuk menawarkan khidmat kongsi kereta yang sah, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$3,000 atau kedua-dua hukuman itu.

Hukuman bagi memandu tanpa perlindungan insurans pula adalah hukuman penjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$1,000 atau kedua-duanya.

Dia juga akan diharamkan daripada memandu bagi tempoh sehingga setahun.

Sumber : CNA/AY/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan