Images
  • court
    Gambar fail tukul kayu. (Gambar: AFP)

Lelaki menyamar wanita, transeksual dipenjara dan disebat kerana peras ugut mangsa

SINGAPURA: Seorang lelaki memeras ugut ribuan dolar daripada beberapa mangsa lelaki lain dengan menyamar sebagai seorang wanita atau transeksual atau menjalani proses menjadi transeksual, untuk mendapatkan gambar-gambar lucah mangsa.

Ramlan Abu, 24 tahun, mengiklankan secara online khidmat seks menggunakan nama samaran wanita seperti "Ellisha" atau "Mariaa".

Selepas menerima gambar lucah para mangsanya yang menghubunginya, Ramlan kemudian menggertak untuk menyiarkan gambar-gambar mereka jika mereka tidak memindahkan wang kepadanya.

Menurut mahkamah, dia cuba memeras ugut atau menipu sekurang-kurangnya 10 mangsa antara September 2017 hingga Oktober 2018 dan meraih S$6,000 kesemuanya.

Lelaki itu pada Rabu (12 Jun) dijatuhi hukuman penjara enam tahun setengah dan 10 kali sebatan rotan. Dia mengaku bersalah di atas 14 tuduhan termasuk memeras ugut dan menipu, dengan 50 lagi tuduhan diambil kira.

SEORANG MANGSA BAYAR LEBIH S$3,000 SEBULAN

Antara mangsanya ialah seorang lelaki 22 tahun yang ditipu September lalu.

Beliau menyangka Ramlan seorang wanita lalu bersetuju membayar S$55.55 untuk melihatnya melakukan aksi lucah menerusi panggilan video.

Setelah menyedari Ramlan sebenarnya seorang lelaki, mangsa menamatkan panggilan namun tetap memindahkan wang S$55.55 bila diminta melakukannya.

Ramlan bagaimanapun kemudian memeras S$90 daripada mangsa dengan mengugut untuk memuat naik gambar-gambar mangsa di Facebook.

Secara keseluruhannya Ramlan mengugut mangsa tersebut sebanyak 31 kali dalam tempoh sebulan dan berjaya mendapatkan S$3,110 daripadanya, sebelum mangsa akhirnya membuat laporan polis kerana tidak tahan diperas ugut lagi.

Mangsa yang terawal dikenalpasti ialah seorang lelaki 39 tahun, yang menghubungi Ramlan pada September 2017 setelah melihat iklan menggunakan nama "Maria".

Setelah ditipu ratusan dolar, lelaki itu membuat laporan polis.

Ramlan ditangkap pada 23 Oktober lalu, dan ditemui dengan dadah methamphetamine dan perkakas dadah yang menyebabkannya menghadapi dua lagi tuduhan. Dia mengaku bersalah di atas tuduhan-tuduhan itu.

Atas kesalahan memeras ugut mangsa, Ramlan boleh dipenjara antara dua hingga lima tahun dan dirotan.

- CNA/TQ/tq

Top