Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki mengaku tekap muka bayi pada tilam, tumbuk isteri

Seorang lelaki pada Isnin (25 Nov) mengaku membenamkan wajah anak lelakinya yang berusia enam bulan pada tilam dan menumbuk isterinya selepas beliau melarikan budak itu daripadanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki mengaku tekap muka bayi pada tilam, tumbuk isteri

Gambar hiasan bayi.

Diterbitkan : 25 Nov 2019 10:44PM Dikemas Kini : 25 Nov 2019 10:51PM

SINGAPURA: Seorang lelaki pada Isnin (25 Nov) mengaku membenamkan wajah anak lelakinya yang berusia enam bulan pada tilam dan menumbuk isterinya selepas beliau melarikan budak itu daripadanya.

Identiti lelaki berusia 25 tahun itu tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah untuk melindungi identiti mangsa.

Lelaki itu mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan dengan perbuatan terburu-buru dan membahayakan keselamatan anaknya. Dia mengaku bersalah atas satu lagi tuduhan sengaja mencederakan isterinya.

Tuduhan ketiga, iaitu melilit tangannya dengan "sangat ketat" pada tubuh bayi, menyebabkan budak itu mengalami kesakitan, akan diambil kira dalam menjatuhi hukuman.

Pada pagi 2 Sep tahun ini, lelaki itu - yang memberitahu mahkamah dia bekerja shif malam sebagai seorang pekerja pembersihan - cuba untuk tidur tetapi berasa geram kerana bayi itu membuat bising.

Dia memarahi budak itu dan menyuruhnya diam. Dia juga memekik ke arah isterinya dan mengancam untuk berlaku kasar terhadap kedua-duanya.

Pada petang itu, lelaki tersebut memberitahu isterinya supaya meletakkan anak mereka ke atas katil di sebelahnya.

Si isteri pada awalnya enggan, namun akhirnya meletakkan budak lelaki itu di sebelah suaminya selepas dia bertegas.

Beberapa ketika kemudian, wanita itu mendengar anaknya menangis dan melihatnya berbaring di atas tilam, dengan suaminya menekan lehernya.

Bayi lelaki itu menangis dan memuntahkan susu di atas katil, kata Timbalan Pendakwa Raya Jane Lim.

Ibunya segera cuba mengalihkan bayi itu namun tidak berjaya, lantas "berlakunya pergelutan", menurut dokumen mahkamah.

Wanita itu kemudian menampar suaminya agar dia melepaskan bayi itu, lalu melarikan bayi itu.

WANITA DITUMBUK, LARI MINTA BANTUAN JIRAN

Marah akan tindakan isterinya, lelaki itu lalu menumbuknya.

Wanita itu melarikan diri dari rumah sambil membawa bayi itu dan menyerahkannya kepada seorang jiran sebelum membuat aduan polis.

Beliau memberitahu polis bahawa suaminya memukulnya dan cuba mencekik anak mereka itu.

Beliau dibawa ke hospital selepas itu dan didapati mengalami lebam di kepalanya dan bekas lelasan di jarinya.

Bayi itu juga dibawa ke hospital, di mana dia didiagnosis mengalami kecederaan bukan kemalangan. Namun dia dalam keadaan agak sihat dan stabil.

"ANDA PERLU LEBIH KAWALAN DIRI"

Lelaki itu memberitahu mahkamah pada Isnin bahawa dia bekerja dari pukul 11.00 ​​malam hingga 6.00 pagi sebagai pekerja pembersihan untuk menyara keluarganya.

Hakim Daerah May Mesenas berkata: "Anda jelasnya perlu lebih mengawal diri dari segi kekerasan keluarga terhadap keluarga anda sendiri."

Beliau berkata beliau akan mengarahkan laporan untuk menilai jika lelaki itu sesuai untuk jalani hukuman perkhidmatan masyarakat atau laporan harian, dan sama ada dia perlu menjalani kaunseling untuk menangani perasaan terpendamnya, serta membantunya mempelajari kemahiran keibubapaan yang sewajarnya.

Dia akan dihadapkan ke Mahkamah Negara untuk dijatuhi hukuman pada Januari nanti.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan