Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki mengaku salah muat naik gambar isteri berhubungan seks dengan majikan di Facebook

Seorang lelaki, 27 tahun, yang memuat naik ke Facebook gambar isterinya sedang melakukan hubungan seks bersama penyelianya, mengaku bersalah di sebuah mahkamah daerah pada Selasa (21 Sep) atas satu tuduhan mencuri dan satu lagi tuduhan menyebarkan gambar intim.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki mengaku salah muat naik gambar isteri berhubungan seks dengan majikan di Facebook

Gambar fail: Calvin Oh

Diterbitkan : 21 Sep 2021 09:32PM Dikemas Kini : 21 Sep 2021 09:34PM

SINGAPURA: Seorang lelaki, 27 tahun, yang memuat naik ke Facebook gambar isterinya sedang melakukan hubungan seks bersama penyelianya, mengaku bersalah di sebuah mahkamah daerah pada Selasa (21 Sep) atas satu tuduhan mencuri dan satu lagi tuduhan menyebarkan gambar intim.

Lelaki yang berusia 26 tahun ketika kejadian itu berlaku mencuri telefon bimbit isterinya dan menemui gambar tersebut bersama dua rakaman video.

Gambar itu kemudian menjadi tular dan tertuduh menurunkan catatan Facebooknya, sebelum memuat naik gambar yang sama sekali lagi dengan wajah wanita berkenaan dikaburkan.

Hakim Daerah Kessler Soh akan mengambil kira dua lagi tuduhan serupa ketika menjatuhkan hukuman pada 1 Okt.

Nama tertuduh, yang kini bebas dengan ikat jamin S$15,000, tidak boleh didedahkan atas arahan mahkamah demi melindungi identiti isterinya.

Mahkamah diberitahu bahawa wanita itu, yang berusia tiga tahun lebih tua dari suaminya, sedang berada di rumah pada 6 Feb tahun lalu apabila tertuduh singgah untuk menggunakan tandas.

Mereka tidak lagi tinggal serumah setelah lelaki itu pindah keluar pada Disember 2019. Dokumen mahkamah bagaimanapun tidak menyatakan sebabnya.

Setelah selesai menggunakan tandas, tertuduh memasuki bilik tidur utama di mana isterinya sedang menggunakan telefon bimbit.

Dia merampas telefon bimbit tersebut lalu melarikan diri dengan dikejar isterinya.

Tertuduh mencuri peranti tersebut kerana mengesyaki isterinya menjalin hubungan sulit dan ingin melihat gambar dan kiriman teks untuk mengesahkannya.

Dia menemui satu rakaman video sepanjang 4 saat, satu lagi rakaman 16 saat dan gambar.

Wajah isteri dan penyelianya jelas dapat dilihat dalam imej tersebut.

Tertuduh menggunakan telefon bimbitnya sendiri untuk memetik foto dan merakam gambar serta rakaman-rakaman berkenaan, sebelum pulang semula ke rumah isterinya sekitar setengah jam kemudian untuk memulangkan peranti itu tanpa memberitahu isterinya apa yang telah dia lakukan.

Enam hari kemudian pada sekitar 8.00 pagi, lelaki itu memuat naik gambar tersebut dalam satu catatan awam yang mendedahkan nama serta pekerjaan penyelia isterinya. Tertuduh menyifatkan lelaki itu sebagai perosak rumah tangga dan memberi amaran kepada orang lain agar berhati-hati.

Dia juga memuat naik gambar lelaki tersebut selain petikan skrin kiriman teks antara lelaki itu dan isterinya.

Sekitar sejam setelah catatan di Facebook itu, penyelia berkenaan mendapat tahu mengenainya dari seorang teman, sementara isteri tertuduh menerima panggilan daripada rakan-rakannya.

Pada sekitar 4.00 petang, sebanyak 1,000 komen ditinggalkan pada catatan tersebut dan ia dikongsi sebanyak 2,000 kali oleh pengguna Facebook lain. Terdapat juga sekitar 3,000 'Likes' pada catatan itu.

Tertuduh kemudian memadamkannya kerana ia mendapat banyak perhatian, namun mengambil keputusan untuk memuat naikkan foto itu sekali lagi pada akaun Facebook yang sama - kali ini dengan wajah isterinya dikaburkan.

Catatan kedua itu hanya dipadamkan sehari kemudian.

Bagi kesalahan menyebarkan gambar intim, lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, didenda, disebat atau gabungan ketiga-tiga hukuman tersebut.

Bagi kesalahan mencuri di tempat tinggal, dia boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun dan didenda.

Sumber : CNA/IH/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan