Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki mengaku culik isteri disyaki curang, simbah petrol dengan niat membakarnya

Seorang lelaki warga Malaysia memasuki Singapura untuk menculik isterinya yang disyaki curang dengan niat menyimbah wanita berusia 40 tahun itu dengan petrol dan membakar mangsa sebelum membunuh dirinya.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki mengaku culik isteri disyaki curang, simbah petrol dengan niat membakarnya

Gambar fail: REUTERS

Diterbitkan : 22 Sep 2021 10:31PM Dikemas Kini : 23 Sep 2021 03:05PM

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Malaysia memasuki Singapura untuk menculik isterinya yang disyaki curang dengan niat menyimbah wanita berusia 40 tahun itu dengan petrol dan membakar mangsa sebelum membunuh dirinya sendiri.

Polis menangkap Murugan Nondoh, 40 tahun di Pusat Pemeriksaan Tuas sebelum dia sempat meninggalkan negara bersama isterinya itu. Polis sebelum itu dimaklumkan tentang kes tersebut oleh anak saudara perempuan mangsa yang terdengar perbualan Murugan bersama isterinya.

Murugan mengaku bersalah pada Rabu (22 Sep) atas empat tuduhan menculik, melakukan tindakan yang mempunyai unsur ugutan jenayah, sengaja menyebabkan kecederaan dan memiliki senjata serangan.

Mahkamah diberitahu bahawa Murugan menganggur dan tinggal di Johor Bahru, ketika dia melakukan kesalahan-kesalahan itu. Isterinya, seorang warga Malaysia juga, bekerja sebagai pengawal mutu barangan di Woodlands.

Pasangan itu berkahwin pada 2007 di Malaysia tetapi mangsa semakin tidak bahagia dalam rumah tangga mereka kerana Murugan panas baran, hutang keliling pinggang kerana berjudi dan kaki bantai.

Pada Februari 2019, wanita itu mengadu kepada temannya dia rasa kesunyiaan dan tidak mempunyai ramai kawan. Temannya itu memberi nombor telefon seorang lelaki agar dapat berkenalan dan mangsa mula berbual-bual bersamanya. Mereka bagaimanapun tidak bertemu secara fizikal.

Pada Mac 2019, Murugan memeriksa telefon isterinya dan ternampak pesanan teks daripada lelaki itu, mengucapkan selamat pagi kepadanya. Murugan lalu membuat panggilan video, meminta nama lelaki itu sebelum meletakkan telefon.

Megesyaki bahawa isterinya itu main kayu tiga bersama lelaki tersebut, Murugan bersemuka dengan isterinya. Mangsa menafikan dia menjalin hubungan dengan lelaki tersebut.

ISTERI PINDAH KELUAR DARI RUMAH

Lewat bulan yang sama, mangsa pindah keluar dari rumah pasangan itu untuk tinggal bersama ibunya di Johor Bahru. Beliau juga meminta cerai serta menyekat nombor telefon Murugan.

Pada 5.30 pagi 1 Julai 2019, Murugan menunggang motosikalnya ke Singapura. Dia pergi ke stesen minyak dan mengisi botol kosong dengan 2.34 liter petrol.

Keesokan harinya, Murugan pergi ke tempat kerja isterinya dan ternampak beliau berjalan keluar sekitar 6.00 petang. Mangsa sedang berbual di telefon bersama anak saudara perempuannya untuk berkongsi bahawa Murugan sudah menemui tempat kerjanya dan beliau rasa takut setiap kali keluar dari bangunan pejabat.

Murugan menunggang motosikal ke arah mangsa dari belakang. Dengam menggunakan lengannya dia mencekik leher wanita tersebut dari belakang. Mangsa bergelut dan dan menjerit meminta tolong. Sedang dia cuba melarikan diri, telefonnya terjatuh.

Murugan mengejar mangsa dan menarik wanita itu ke arahnya.

Dia kemudian menyimbah botol petol itu ke seluruh kepala isterinya dan wanita itu tertelan sedikit cecair ketika sedang menjerit meminta tolong.

Murugan memberitahu mangsa dia akan membakar dan membunuhnya jika mangsa tidak ikut naik motosikal.

Tanpa diketahui oleh Murugan, anak saudara perempuan mangsa masih belum meletakkan telefon dan terdengar semua yang berlaku.

Seorang lagi saudara menelefon polis untuk memaklumkan tentang apa yang berlaku.

Murugan dan isterinya tiba di Pusat Pemeriksaan Tuas pada sekitar 11.00 malam hari itu dan cuba mengimbas pasport dan cap jari mereka tetapi tidak berjaya.

Pegawai polis tiba tidak lama kemudian, menangkap Murugan dan menyelamatkan mangsa.

Pihak pendakwa meminta Murugan dihukum penjara bagi tempoh tiga tahun, sebulan dengan tiga tahun dan tujuh bulan.

Dia sudah ditahan reman sejak 2019 dan akan kembali ke mahkamah untuk dijatuhi hukuman hujung bulan ini.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan