Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki M'sia dipenjara 15 tahun cuba bunuh anak perempuan, tikam mangsa 17 kali

Seorang lelaki yang menikam anak perempuannya berulang kali di sebuah perhentian bas, dengan niat untuk membunuhnya berhubung penjualan rumah keluarga mereka, dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun pada Jumaat (5 Nov). 

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki M'sia dipenjara 15 tahun cuba bunuh anak perempuan, tikam mangsa 17 kali

(Gambar hiasan: Jeremy Long)

Diterbitkan : 05 Nov 2021 12:40PM Dikemas Kini : 05 Nov 2021 12:44PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang menikam anak perempuannya berulang kali di sebuah perhentian bas, dengan niat untuk membunuhnya berhubung penjualan rumah keluarga mereka, dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun pada Jumaat (5 Nov).

Warga Malaysia, Shoo Ah San, 65 tahun, mengaku bersalah minggu ini atas satu tuduhan percubaan membunuh dengan tuduhan kedua memiliki senjata serangan di tempat awam dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.

Shoo merancang untuk membunuh anak sulungnya, wanita berusia 42 tahun yang tinggal bersama suaminya di Marsiling, sejak Jun 2019. Ini setelah dia melihat rumah keluarga mereka yang diubah elok di Taman Perling, Johor Bahru, dan beranggapan bahawa ia sudah dijual.

Dia juga merancang untuk membunuh diri selepas membunuh anak perempuannya itu, dengan melompat dari blok flat wanita berkenaan di Singapura. Namun, lelaki itu menundakan rancangannya sehinga Januari 2020 apabila temanitanya menyuruh dia berpindah keluar.

Shoo, sebelum ini tidak dapat masuk rumah keluarga tersebut setelah anak lelakinya menukar kunci rumah. Dia yang merupakan seorang muflis yang belum dilepaskan, menaiki motosikalnya untuk menyeberangi Koswe pada 17 Januari 2020 dalam usaha mencari anak perempuannya.

Apabila dia terlihat kelibat anak perempuannya berjalan menuju ke sebuah perhentian bas di Marsiling Lane sekitar pukul 5.00 pagi, Shoo berlari ke arahnya dan menikam wanita itu beberapa kali di bahu, dada dan belakangnya sambil berkata: "Kau semua buat aku merana teruk".

Sasaran tikaman Shoo yang pertama adalah leher anak perempuannya tetapi wanita itu sempat mengelak pisau bergerigi tersebut. Shoo melarikan diri apabila dia perasan seseorang menghampiri mereka tetapi kembali semula ke tempat kejadian apabila melihat anak perempuannya itu belum mati.

Shoo menikam lagi anak perempuannya bertubi-tubi, walaupun seorang pejalan kaki sedang membantu wanita tersebut ketika itu. Dia hanya berhenti selepas nampak darah mengalir keluar dari mulut anaknya.

Shoo ditangkap lima hari kemudian dalam satu pemburuan yang dijalankan oleh polis di merata negara. Ketika itu, dia sedang mencari anak lelakinya.

Anak perempuan Shoo mengalami beberapa kecederaan termasuk yang mengancam nyawa dan paru-paru berhenti berfungsi. Mangsa menjalani fisioterapi dan rawatan perubatan sehingga Jun 2021.

Pihak pendakwa meminta tempoh hukuman penjara antara 16 dengan 18 tahun dikenakan ke atas Shoo manakala peguam bela dari Drew and Napier, yang memberi khidmat secara percuma, meminta hukuman penjara 10 tahun.

Peguam bela itu berkata Shoo "seorang sosok bapa yang sangat kesunyian" yang "dihalau keluar dari rumahnya oleh anak-anaknya dan dipaksa hidup gelandangan di jalanan".

Hakim Aedit Abdullah mendapati kecederaan yang dialami anak Shoo sangat parah termasuk paru-paru tidak berfungsi dan 17 kesan tikaman.

Salah satu luka yang dialami mangsa sepanjang 4 sentimeter dan menembusi ototnya, terang beliau.

Serangan itu juga berlaku di jalan raya pada pagi hari dan menyebabkan kemudaratan kepada ketenteraman awam, kata Hakim. Beliau berkata semua rakyat berhak berjalan di jalan raya dalam keadaan aman, tidak kira pada siang atau malam hari, dan mereka yang melanggar ketenteraman atau keselamatan dan cuba untuk membunuh "akan ditangani dengan setimpalnya."

Hakim juga menolak hujah pihak pembela bahawa disebabkan usia Shoo, hukuman penjara sepatutnya dikurangkan.

Hakim tidak mengenakan tempoh penjara tambahan sebagai menggantikan sebatan rotan.

Hukuman bagi cubaan membunuh adalah penjara seumur hidup dan dirotak atau tempoh penjara sehingga 20 tahun dan didenda atau disebat. Shoo tidak boleh disebat kerana berusia lebih 50 tahun.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan