Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki Jerman terjerat perangkap polis; cuba promosikan lawatan seks bawah umur

Seorang ahli perniagaan Jerman yang memasarkan lawatan seks kepada para pegawai polis yang menyamar diri didapati bersalah pada Jumaat (12 Jul) kerana mempromosikan seks komersil dengan budak bawah umur di Filipina.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki Jerman terjerat perangkap polis; cuba promosikan lawatan seks bawah umur

Warga Jerman, Michael Frank Hartung, meninggalkan Mahkamah Negara pada 15 Feb 2017. (Gambar: Robin Choo/TODAY)

Diterbitkan : 13 Jul 2019 09:27AM Dikemas Kini : 13 Jul 2019 09:29AM

SINGAPURA: Seorang ahli perniagaan Jerman yang memasarkan lawatan seks kepada para pegawai polis yang menyamar diri didapati bersalah pada Jumaat (12 Jul) kerana mempromosikan seks komersil dengan budak bawah umur di Filipina.

Michael Frank Hartung, bekas eksekutif kanan di Deutsche Bank, disabitkan dua tuduhan mengedarkan maklumat untuk mempromosikan seks komersil dengan budak bawah umur.

Lelaki berusia 48 tahun itu bertemu dengan dua lelaki yang sebenarnya pegawai polis di sebuah kafe Starbucks di pusat beli-belah Raffles City pada September 2015. Dia juga bertemu dengan dua anggota polis lain di pub XI & O di Mackenzie Road pada April 2016.

Dia memberikan kesemua empat lelaki berkenaan - masing-masing menyamar sebagai Michael, Jackson, Paul dan Frank - maklumat mengenai seks komersil dengan budak bawah umur di Filipina.

Hartung minta dibicarakan bagi tuduhan itu dan menafikan, semasa tempoh perbicaraan 20 hari, bahawa dia berhasrat untuk merancang lawatan ke Filipina untuk seks berbayar dengan budak bawah umur.

Sebagai membela dirinya, Hartung mendakwa maklumat yang diberikannya kepada para pegawai polis adalah maklumat umum yang boleh diperolehi secara online dan dia hanya "berpura-pura melayankan" lelaki-lelaki itu kerana tidak mahu menyinggungkan kehendak mereka yang dianggapnya satu prospek perniagaan yang sah.

PERTEMUAN PERTAMA MENERUSI YAHOO MESSENGER

Hartung, seorang penduduk tetap Singapura, mula berkomunikasi dengan Jackson di Yahoo Online Messenger. Jackson dikatakan ingin ke luar negara untuk lawatan berprofil rendah bagi seks komersil dengan gadis-gadis yang "muda" dan "tidak berpengalaman".

Hartung kemudian berjumpa Jackson, bersama dengan pegawai polis Michael, di kafe Starbucks Coffee di pusat beli-belah Raffles City pada 26 September 2015.

Semasa pertemuan itu, Hartung memberitahu Jackson dan Michael bahawa dia mempunyai akses kepada kenalan tempatan di Filipina yang akan memudahkan pengaturan enam gadis berusia antara 14 hingga 16 tahun.

Beberapa bulan kemudian, Hartung berjumpa dengan dua lagi pegawai polis - Paul dan Frank - untuk membincangkan lawatan seks lain.

BERI BUTIRAN TENTANG LAWATAN SEKS BAWAH UMUR

Dia berkata harga "biasa" bagi perkhidmatan seksual dari seorang budak bawah umur di Filipina adalah serendah 5,000 peso (S$354) dan 10,000 peso dianggap terlalu mahal - dengan 9,000 peso dibayar kepada mak ayam dan selebihnya pula kepada budak bawah umur.

Lelaki yang sudah berkahwin itu mendakwa dia tidak berniat merancang lawatan buat keempat-empat lelaki berkenaan sambil mengatakan bahawa dia adalah seorang ahli perniagaan sah yang cuba mencari peluang perniagaan untuk syarikatnya, Erasig LLP.

Hakim Daerah Ng Cheng Thiam sabit Hartung atas dua tuduhan dengan mengatakan beliau sudahpun meneliti kes pembelaan dan mendapati "tiada perkara yang menimbulkan keraguan yang munasabah".

Mengulas pembelaan Hartung, hakim berkata beliau mendapati hujah peguam bela tidak konsisten dengan bukti yang diberikan oleh Hartung sendiri.

Hakim menangguhkan perbicaraan dan hukuman kepada 15 Ogos.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan