Images
  • wheelchair (1)
    (Gambar: Pixabay/MabelAmber)

Lelaki hadang tempat letak kereta orang kurang upaya, hentak kereta mangsa

SINGAPURA: Seorang lelaki menghadang tempat letak kereta yang dikhaskan untuk orang kurang upaya dengan kenderaannya dan menghetak sikunya di bonet sebuah kereta yang dibenarkan meletak kenderaan di situ.

Atas kesalahan menyebabkan kerosakan bernilai sekurang-kurangnya S$500, Benny Pang Hui Heng didenda S$1,500 pada Jumaat (8 Nov).

Lelaki berusia 50 tahun itu juga diperintah membayar mangsa ganti rugi bernilai S$500.

Mahkamah diberitahu bahawa Pang telah pergi ke sebuah tempat letak kereta bertingkat dekat Pasir Ris Drive 10 pada sekitar pukul 9.00 pagi pada 24 Mei lalu untuk mendapatkan van miliknya.

Dia kemudian memandu ke tempat memunggah muatan untuk menunggu anggota keluarganya dan meletak kenderaan di tempatdepan lot yang dikhaskan untuk orang kurang upaya.

Beberapa minit kemudian, kereta mangsa yang berusia 27 tahun, dengan pelekat untuk orang kurang upaya, ingin meletak kenderaannya di lot ikhas tersebut.

Beliau membunyikan hon beberapa kali kerana kenderaan Pang menghadang lot tersebut, tetapi Pang tidak mengalihkan kenderaannya.

Dia hanya berbuat demikian selepas mangsa menunjukkan pelekat kurang upaya di keretanya.

Mangsa keluar dari keretanya untuk bersemuka dengan Pang, yang tidak mempedulikannya.

Mangsa kemudian meninggalkan tempat itu, sementara kawannya masih berada di dalam kereta. Pada ketika itu, anak lelaki Pang bersemuka dengan kawan mangsa.

Apabila si mangsa kembali ke keretanya, beliau juga mula bertengkar dengan anak lelaki Pang.

Apabila mangsa cuba meninggalkan tempat itu, Pang berdiri di depan keretanya dan menghalang laluannya.

Pang sengaja menghentak sikunya di bonet kereta BMW itu, sekaligus menyebabkan kerosakan bernilai S$500, menurut Timbalan Pendakwa Raya Timothesus Koh.

Atas kesalahan menyebabkan kerosakan bernilai S$500 dan ke atas, Pang boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali. 

- CNA/NA/na

Top