Images
  • hotel listing
    Iklan tempahan palsu bilik hotel di wadah online. (Gambar: SPF)

Lelaki ditahan, disyaki jalankan penipuan tempahan bilik hotel di Carousell

SINGAPURA: Seorang lelaki 31 tahun ditahan pada Selasa (9 Jul) kerana dipercayai terlibat dalam lebih 100 penipuan e-dagang bernilai lebih S$40,000, menurut Pasukan Polis Singpura (SPF).

Antara Mac hingga Jun, polis menerima beberapa aduan daripada para mangsa yang dilaporkan ditipu oleh penjual di Carousell yang menawarkan tempahan bilik hotel pada harga yang murah.

"Para penjual tidak dapat dihubungi selepas mangsa memindahkan pembayaran wang pendahuluan ke dalam akaun mereka," menurut kenyataan polis pada Rabu.

Para pegawai dari Jabatan Ehwal Komersil (CAD) mengenal pasti individu terlibat dan memberkas lelaki berusia 31 tahun itu. Menurut polis, penipuan tersebut melibatkan "pengguna Carousell yang tidak bersalah".

"Untuk mempermudahkan operasi penipuannya, lelaki berkenaan menyamar sebagai pemilik perniagaan yang sahih dan melibatkan sekurang-kurangnya 10 pengguna Carousell yang tidak bersalah untuk membantunya menguar-uarkan penyenaraian berkenaan," tambah pihak polis.

Para pengguna Carousell yang lain sedang membantu siasatan polis.

Lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada Khamis atas dakwaan menipu. Jika didapati bersalah, beliau boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda.

"Para penjual juga harus berwaspada jika dihubungi untuk diupah mengiklankan barangan atau khidmat bagi pihak orang yang tidak dikenali," polis memberi amaran kepada orang awam.

"Anda boleh secara tidak sengaja terlibat dengan penipuan."

Polis turut menasihatkan para pembeli secara online untuk mengambil langkah-langkah berikut:

  • Kenali bagaimana wadah beli-belah menjaga kepentingan anda atau membantu leraikan sebarang perselisihan, sebelum membuat urus niaga. Ingat bahawa pihak yang anda sedang berurus niaga adalah orang yang tidak dikenali.
  • Gunakan cara pembayaran tunai selepas penghantaran, terutamanya apabila menjawab iklan online.
  • Jika perlu membuat pembayaran pendahuluan, gunakan wadah beli-belah yang hanya memindahkan wang anda kepada penjual selepas anda menerima barangan yang dipesan.
  • Penjual mungkin menunjukkan salinan kad pengenalan atau lesen memandu untuk mendapatkan keyakinan anda, namun dokumen itu mungkin bukan miliknya.
  • Penyamar mungkin menggunakan akaun bank tempatan untuk menambah keyakinan, namun pemilik akaun mungkin bukan orang yang sama yang anda hubungi secara online.

- CNA/TQ/tq

Top