Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara, tempah makanan lebih S$700 dari GrabFood, Foodpanda tanpa membayar

Selama hampir tiga minggu, seorang lelaki 27 tahun menempah makanan bernilai lebih S$700 dari aplikasi penghantaran makanan dengan menggunakan alamat jirannya. Dia kemudian memakannya tanpa membuat pembayaran.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara, tempah makanan lebih S$700 dari GrabFood, Foodpanda tanpa membayar

Gambar hiasan. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 17 Sep 2020 05:53PM Dikemas Kini : 17 Sep 2020 06:00PM

SINGAPURA: Selama hampir tiga minggu, seorang lelaki 27 tahun menempah makanan bernilai lebih S$700 dari aplikasi penghantaran makanan dengan menggunakan alamat jirannya. Dia kemudian memakannya tanpa membuat pembayaran.

Atas empat tuduhan menipu, dengan lagi sembilan tuduhan tambahan diambil pertimbangan, Leonard Tan Tong Han dijatuhi hukuman penjara tujuh hari pada Khamis (17 Sep).

Tan tinggal di sebuah flat di tingkat 14 di Choa Chu Kang, dan melakukan penipuan itu dengan membuat tempahan bagi makanan dihantar ke rumah jiran di tingkat atas dan bawah rumahnya.

Mahkamah diberitahu bahawa Tan membuat beberapa tempahan makanan menerusi aplikasi mudah alih GrabFood dan Foodpanda antara 25 Februari hingga 14 Mac, tanpa berniat untuk membayar.

Dia memilih pilihan pembayaran "tunai setelah penghantaran" semasa membuat tempahan dan sebelum makanan tiba, mengirim pesanan teks kepada pekerja penghantaran untuk memberitahu mereka supaya meninggalkan makanan di luar flat. Dia juga memberitahu mereka pembayaran akan dibuat melalui PayLah! atau PayNow.

Apabila dia melihat makanan sudah tiba, dia akan pergi ke rumah jirannya dan mengambil makanan dari luar rumah. Namun, dia tidak membuat pembayaran untuk pesanan tersebut.

GUNA NAMA PALSU, NOMBOR TELEFON RAMBANG

Untuk melaksanakan helahnya, Tan membuat banyak akaun di aplikasi penghantaran makanan dengan nama palsu dan nombor telefon rambang supaya dia tidak dapat dihubungi kemudian.

Semasa salah satu kejadian pada 8 Mac, Tan menempah makanan dari sebuah restoran di Jalan Gangsa melalui aplikasi Foodpanda, dengan nama palsu "Sammy Leong".

Dia memilih pilihan "tunai setelah penghantaran" untuk pesanan bernilai S$91.59 ke flat jirannya di tingkat 13.

Dalam catatan tempahannya dalam app itu, Tan menulis: "Tinggalkan makanan di atas rak kasut ... sedang ambil anak dari hospital. SMS saya nombor paynow anda, saya akan bayar dan whatsapp anda."

Pekerja penghantaran meletakkan makanan di rak kasut di luar flat jiran Tan, menghantar gambar ke nombor yang diberikan Tan dan beredar.

TEMBELANG BOCOR APABILA PENGHANTAR KETUK PINTU RUMAH JIRAN

Tan kemudian mengambil makanan itu, namun pekerja penghantaran makanan terbabit merasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila gambar yang dihantarnya ke Tan tidak dijawab. Beliau kembali ke flat berkenaan dan mendapati makanan itu sudah tiada.

Beliau mengetuk pintu flat tetapi jiran itu memberitahunya bahawa beliau tidak membuat tempahan penghantaran makanan, sambil menambah bahawa kejadian serupa pernah berlaku.

Penunggang berkenaan melaporkan kes itu kepada Foodpanda. Jiran itu telah membuat aduan polis sebelum ini pada 25 Februari, mengenai dua pesanan pizza yang dihantar ke rumahnya.

Jumlah kerugian yang ditanggung oleh GrabFood dan Foodpanda mencecah S$718.54. Tan sudahpun membayar kedua-dua syarikat sepenuhnya.

Hakim membenarkan Tan menjalani hukumannya bermula 1 Oktober.

Bagi setiap tuduhan menipu, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan