Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara lebih 20 bulan kerana jual rokok seludup, miliki tembakau kunyah

Seorang warga India dijatuhi hukuman penjara pada Rabu (21 Ogos) kerana menjual rokok tidak dibayar cukai serta memiliki tembakau kunyah, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Kastam Singapura dalam satu kenyataan bersama.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara lebih 20 bulan kerana jual rokok seludup, miliki tembakau kunyah

Sejumlah 12,180 uncang tembakau kunyah dan 14,130 paket rokok tidak dibayar cukai dirampas semasa satu operasi oleh Kastam Singapura. (Gambar: Kastam Singapura)

Diterbitkan : 21 Aug 2019 09:55PM Dikemas Kini : 21 Aug 2019 09:56PM

SINGAPURA: Seorang warga India dijatuhi hukuman penjara pada Rabu (21 Ogos) kerana menjual rokok tidak dibayar cukai serta memiliki tembakau kunyah, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Kastam Singapura dalam satu kenyataan bersama.

Veerappan Vimalraj, 33 tahun, didakwa atas kesalahan menyimpan dan mengendalikan 14,130 paket rokok tidak dibayar cukai, selain memiliki 12,180 uncang tembakau khaini bagi tujuan penjualan. Tembakau itu adalah sejenis tembakau kunyah yang dilarang di Singapura.

Tembakau khaini mengandungi dedaun tembakau cokelat gelap yang lembap, dicampurkan dengan kapur mati atau rempah.

Kegiatan jenayah Veerappan terbongkar pada 21 Mei apabila para pegawai kastam, yang menjalankan operasi, terlihatnya memasuki sebuah kemudahan penyimpanan di Neythal Road dekat Estet Perindustrian Jurong.

Para pegawai menemui 10,680 uncang tembakau kunyah terlarang dan 13,130 paket rokok tidak dibayar cukai dalam kemudahan penyimpanan tersebut. Lagi 1,500 uncang tembakau kunyah dan 1,000 paket rokok ditemui di dalam sebuah kereta yang diletakkan berhampiran kemudahan itu.

Veerappan Vimalraj diupah S$600 sebulan untuk menjual semua tembakau kunyah dilarang dan rokok tidak dibayar cukai. (Gambar: Kastam Singapura)

Siasatan mendedahkan Veerappan diupah S$600 sebulan untuk menjual kesemua barang-barang itu.

Dia akan menaiki kereta untuk menghantar tembakau kunyah serta rokok itu kepada para pelanggannya. Bagi mengelakkan daripada menarik perhatian, Veerappan akan menyembunyikan tembakau kunyah dan rokok di dalam semak di tempat-tempat penghantaran.

Selepas mengambil tembakau kunyah atau rokok yang dipesan itu, para pelanggan akan sama ada meninggalkan wang bayaran di tempat sama atau memberikannya secara langsung kepada Veerappan.

Kedua-dua kereta dan wang tunai S$5,927 hasil jualan rokok itu juga dirampas, menurut pihak berkuasa.

Tembakau kunyah itu dianggarkan mempunyai nilai pasaran lebih S$24,000 sementara cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dielakkan masing-masing berjumlah sekitar S$120,670 dan S$8,900, menurut kenyataan tersebut.

Pada Rabu, Veerappan didakwa dan didapati bersalah dan atas tiga tuduhan di bawah Akta Kastam dan Akta (Kawalan Periklanan dan Penjualan) Tembakau.

Dia dijatuhi hukuman penjara 19 bulan dan 11 minggu dan wang tunai yang dirampas dilucutkan haknya.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan