Images
  • woman-abuse
    (Gambar: CNA)

Lelaki dipenjara kerana ugut, kasari 3 wanita

SINGAPURA: Seorang lelaki yang bertindak kasar terhadap tiga wanita dikenakan hukuman penjara lima bulan pada Selasa (8 Okt).

Lelaki berusia 29 tahun itu yang namanya tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah mengaku bersalah terhadap dua tuduhan ugutan dan satu tuduhan menyebabkan kecederaan secara sengaja, dengan tiga lagi tuduhan diambil kira.

Mahkamah diberitahu lelaki itu bekerja secara tidak tetap sebagai buruh. Dia sedang menjalin hubungan dengan seorang wanita berusia 33 tahun apabila wanita itu memutuskan hubungan mereka pada sekitar Mei 2017 untuk kembali bersama suaminya.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Kathy Chu, lelaki itu kemudian mengugut untuk mengganggu kehidupannya jika wanita itu meninggalkannya.

Dia menghantar gambar-gambar mereka berdua kepada suami wanita itu dan kenalan keluarganya. Dia juga menghantar gambar lucah wanita itu kepada suami dan bapanya.

Pada sekitar pukul lima petang pada 31 Mei 2017, lelaki itu menghantar pesanan kepada wanita itu menerusi WhatsApp yang berbunyi: "Nanti kau tunggu sahaja selepas buka puasa, aku akan hantarkan semuanya pada mertua kau."

Pada sekitar pukul tujuh malam hari yang sama, lelaki itu membuka kumpulan sembang di WhatsApp yang termasuk wanita itu, saudara lelaki, kakak ipar dan beberapa teman wanita itu.

Lelaki itu kemudian menghantar gambar wanita itu sedang baring di atas katil kepada kumpulan sembang itu dan meletakkan gambar jarak dekat wanita itu sedang tidur sebagai gambar paparan kumpulan sembang itu.

Pada malam yang sama, wanita itu membuat laporan polis.

MENGUGUT BEKAS ISTERI BERSENJATAKAN PISAU

Lebih setahun selepas kejadian itu, lelaki itu berang terhadap bekas isterinya berusia 32 tahun, yang berkongsi hak penjagaan anak perempuan mereka berusia 10 tahun.

Wanita itu meninggalkan anak mereka di bawah jagaan lelaki itu pada 24 Ogos 2018 dan mengatakan beliau akan mengambilnya pulang beberapa hari kemudian.

Apabila beliau kembali ke rumah bekas suaminya bersama teman lelakinya pada 26 Ogos 2018, tertuduh terjaga daripada tidur dan mula menjerit kepada wanita itu.

Wanita itu tiba lebih awal daripada waktu yang dipersetujui.

Lelaki itu meluru ke arah bekas isterinya dan mengugutnya sambil menjerit: "Tidak perlu cakap banyak-banyak, aku ambil pisau dan tikam kau. Lebih senang macam tu!"

Dia kemudian mengambil pisau berukuran 15 sentimeter panjang dengan niat untuk menakut-nakutkan bekas isterinya.

Wanita itu melarikan diri daripada bekas suaminya yang ditahan oleh bapa dan teman lelakinya.

Lelaki itu kemudian enggan memulangkan anak perempuannya kepada bekas isterinya dan menyuruh bapanya untuk memberitahu bekas isterinya bahawa beliau akan menyesal jika beliau membuat laporan polis.

Sementara dia diikat jamin, lelaki itu tidak menghadirkan diri bagi perbicaraan mahkamah pada 14 Disember 2018 dan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

TUMBUK BEKAS TEMANITA, HERET TURUN TANGGA

Pada waktu itu, dia juga menyerang seorang lagi bekas temanitanya.

Lelaki itu menjalin hubungan dengan wanita berusia 30 tahun itu selama lebih setahun sebelum memutuskan hubungan mereka pada Januari 2019.

Sekitar bulan yang sama, dia menumbuk wanita itu di bahagian mata kanan dekat kawasan tangga perumahannya.

Wanita itu mengalami lebam dan bengkak di bahagian mata selama dua minggu.

Sebulan kemudian, lelaki itu mengheret wanita itu turun tangga.

Dia juga memanjat tembok bangunan pada Mei tahun ini dan mengatakan: "Jika ini apa yang kau mahukan, aku akan terjun." Wanita itu menghubungi polis pada hari yang sama sambil berkata seorang lelaki di luar rumahnya cuba mengganggu beliau sekeluarga.

Menurut pihak pendakwa, lelaki itu bertindak ganas terhadap wanita itu sepanjang hubungan mereka.

Namun, lelaki itu hanya diberkas pada 28 Julai tahun ini setelah dia pulang ke rumah dan bapanya menghubungi polis.

Bagi setiap tuduhan ugutan, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Atas tindakan menyebabkan kecederaan secara sengaja, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda maksimum S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

- CNA/HA/ha

Top