Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara kerana tumbuk rakan serumah akibat sampah hingga giginya tercabut

Seorang pengecat yang menumbuk rakan serumahnya hinga menyebabkan giginya tercabut gara-gara bergaduh tentang sampah dijatuhi hukuman penjara lima minggu pada Rabu (11 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara kerana tumbuk rakan serumah akibat sampah hingga giginya tercabut

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 11 Sep 2019 08:08PM Dikemas Kini : 11 Sep 2019 08:10PM

SINGAPURA: Seorang pengecat yang menumbuk rakan serumahnya hinga menyebabkan giginya tercabut gara-gara bergaduh tentang sampah dijatuhi hukuman penjara lima minggu pada Rabu (11 Sep).

Liu Lei, 36 tahun, seorang warga China, diperintah membayar wang pampasan sebanyak S$3,535 kepada Encik Liu Jia, 35 tahun atau hukuman penjara dilanjutkan seminggu lagi.

Mahkamah diberitahu bahawa kedua-dua lelaki warga China itu merupakan penyewa bersama sebuah flat di Blok 670, Jurong West Street 65.

Pada sekitar pukul 9.00 pagi pada 10 Mar, mangsa ingin menyiapkan sarapan di dapur apabila beliau ternampak beg sampah di atas dapur masak, menurut Timbakan Pendakwa Raya Houston Johannus.

Beliau telah melihat Liu membasuh pinggan mangkuk sebelum itu lalu pergi ke bilik Liu untuk bertanya sama ada dia telah meletakkan sampah itu di atas dapur masak berkenaan.

Liu mengikutnya ke dapur dan memberitahu mangsa bahawa ia bukan miliknya.

Pada lewat pagi itu, mangsa menghantar beberapa pesanan ke sebuah kumpulan sembang bagi para penghuni flat itu dan meminta agar individu yang meletakkan beg sampah itu mengaku akan perbuatannya. Beliau juga mengingatkan kumpulan itu untuk membuang sampah dengan cara yang betul.

Liu menganggap mangsa menyindirnya, menurut mahkamah.

Dia kemudian bersemuka dengan mangsa dan satu pergaduhan tercetus antara mereka.

Apabila si mangsa memberitahu Liu bahawa kata-kata itu tidak bertujuan untuk menyindirnya, Liu menjadi lebih marah.

Dia menolak mangsa di bahagian dada sebelum menumbuk mukanya sebanyak dua kali.

Mangsa merasa pening dan bahagian mulutnya mula berdarah, dan beliau menyedari giginya tercabut.

Para penghuni lain di flat itu pada mulanya cuba menghalang mangsa daripada menelefon polis tetapi si mangsa menelefon polis setelah bergaduh dengan Liu sekali lagi kerana dia tidak meminta maaf dan enggan memberi wang pampasan kepada mangsa bagi kos perubatannya.

Mangsa menjalani pembedahan bagi giginya yang tercabut dan menampung kos perubatan sebanyak S$3,535.

Liu mengaku bersalah pada Rabu atas satu tuduhan mencederakan seseorang dengan sengaja.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan