Images
  • iphone
    Gambar hiasan. (Gambar: Michaela Rehle/Reuters) 

Lelaki dipenjara kerana tipu Singtel guna identiti ibu bapa beli iPhone

SINGAPURA: Seorang lelaki rakyat Singapura dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan pada Rabu (16 Jan) kerana menggunakan identiti ibu bapanya untuk melanggani kontrak-kontrak telefon bimbit dengan Singtel serta mendapatkan dua iPhone, yang kemudian dijualnya.

Fong Kok Meng didakwa atas dua kesalahan menipu Singtel dengan memperdaya syarikat itu untuk mempercayai bahawa kedua-dua ibu bapanya melanggani kontrak-kontrak telefon bimbit secara berasingan.

Lelaki berusia 32 tahun itu sedang menganggur dan tinggal bersama ibu bapanya - pihak yang membuat aduan - semasa insiden tersebut pada Ogos 2015.

Dalam insiden pertama, Fong menggunakan khidmat perbualan langsung dalam talian dengan ejen-ejen perkhidmatan pelanggan Singtel untuk mendapatkan kontrak telefon bimbit yang baru.

Bagaimanapun, dia tidak memberikan nombor kad pengenalannya (NRIC) sendiri dan sebaliknya memberi nombor NRIC bapanya. Fong juga menghantar gambar NRIC bapanya kepada ejen khidmat pelanggan berkenaan.

Dengan melakukan demikian, Fong memperdaya Singtel untuk percaya bahawa kontrak langganan dibuat dengan bapanya. Fong memilih telefon bijak iPhone 6 di bawah pelan gabungan 6 Singtel bernilai S$106.17 setiap bulan. Bil bagi bulan pertama turut merangkumi kos telefon (S$988) dan kad SIM (S$30).

Singtel menghantar telefon itu kepada Fong beberapa hari kemudian.

Sekitar seminggu kemudian, Fong menggunakan cara yang sama untuk memperolehi satu lagi kontrak telefon bimbit dari Singtel. Namun kali ini, dia menggunakan identiti ibunya pula.

Singtel sekali lagi menghantar telefon bijak iPhone 6 kepada Fong.

Dia kemudian menjual kedua-dua iPhone itu di sebuah kedai di Kompleks Chinatown pada harga S$850 setiap satu, dan menggunakan wang yang diperolehi untuk perbelanjaan peribadi.

Sementara itu, bil Singtel bagi kedua-dua kontrak telefon bimbit itu semakin meningkat sehingga masing-masing mencecah S$$1,387.42 dan S$1,354.79 bagi tempoh enam bulan.

Bil-bil tersebut tidak dilunaskan oleh Fong mahupun ibu bapanya.

Beberapa tahun lalu, dia juga menandatangani empat kontrak di salah sebuah syarikat telko yang namanya tidak didedahkan tanpa sebarang tujuan untuk membayar sendiri kontrak tersebut. Dia kemudian menjual telefon-telefon bimbit tersebut.

Dalam kes itu, ibu bapanya membayar bil berjumlah sekitar S$4,000 tetapi tidak membuat aduan polis kerana mereka percaya dia tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Atas kesalahan menipu dan secara tidak jujur menerima kiriman harta benda, Fong boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun dan didenda.

Lagi dua tuduhan menipu berhubung insiden-insiden berasingan pada 2015 turut dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman terhadap Fong. 

- CNA/AI/ai

Top