Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara kerana cederakan mangsa yang memintanya henti goyang kaki di pawagam

Seorang lelaki yang ditegur supaya berhenti menggoyangkan kakinya ketika menonton wayang menyerang individu itu dan isterinya.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara kerana cederakan mangsa yang memintanya henti goyang kaki di pawagam

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 03 Dec 2019 02:28PM Dikemas Kini : 03 Dec 2019 02:29PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang ditegur supaya berhenti menggoyangkan kakinya ketika menonton wayang menyerang individu itu dan isterinya.

Atas satu tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa dan satu lagi tuduhan serupa mencederakan isteri mangsa, Clifton Wong Jun Han, 23 tahun, dijatuhi hukuman penjara satu hari dan denda S$3,000 hari ini (3 Dis).

Satu lagi tuduhan mencederakan isteri mangsa diambil kira dalam menentukan hukuman.

Mahkamah diberitahu Wong menonton wayang bersama isterinya di pawagam Shaw Theatres di pusat beli-belah Seletar di Sengkang pada 1 Ogos lalu.

Mereka duduk di sebelah mangsa dan isterinya dalam pawagam itu.

Ketika menonton wayang, Wong mula menggoyangkan kakinya secara berterusan, sehingga mengganggu mangsa dan isterinya yang merasakan kerusi mereka turut bergegar.

Mangsa kemudian menegur Wong supaya berhenti menggoyangkan kakinya, kata Timbalan Pendakwa Raya Kevin Ho.

Selesai sahaja filem, Wong bingkas bangun untuk meninggalkan tempat duduknya. Sedang dia melakukan demikian, dia secara tidak sengaja tersandung dan terpijak kaki mangsa, namun, mangsa tidak berkata apa-apa.

Wong lalu memalingkan kepalanya dan memaki hamun mangsa, tetapi mangsa sekali lagi tidak menghiraukannya.

Wong kemudian mendekati mangsa dan menumbuk mukanya berkali-kali. Mangsa cuba melindungi dirinya dengan menghadang dengan tangannya, dan isteri mangsa juga cuba menghentikan Wong, tetapi Wong sebaliknya menumbuk lengan wanita itu.

Tertuduh ditahan oleh isterinya sendiri dan beberapa orang lagi di tempat kejadian, serta para pegawai keselamatan yang tiba tidak lama kemudian.

Polis menyatakan mereka menerima panggilan pada 5.52 petang dengan seorang individu yang melaporkan: "Kami sedang menonton wayang. Seorang lelaki berusia kira-kira 30-an tahun memukul pasangan itu. Agak teruk. Kedua-duanya cedera. Anda harus datang segera."

Mangsa dan isterinya yang sudah berusia itu dibawa ke Hospital Besar Sengkang bagi rawatan dan satu laporan mendapati mangsa mengalami lebam pada bahagian kepala dan mata manakala isterinya mengalami lebam pada lengannya.

Pihak pendakwa memohon tempoh hukuman penjara yang singkat, sambil menyerahkan keputusan menentukan tempoh penjara kepada mahkamah. Beliau menarik perhatian kepada lima faktor termasuk serangan yang dilakukan secara melulu dan berpanjangan.

WONG DI BAWAH TEKANAN: PIHAK PEMBELA

Peguam bela Gino Hardial Singh sebaliknya memohon hukuman denda maksimum S$5,000 sambil berkata anak guamnya merupakan bekas anggota bomba bersama Changi Airport Group dan tidak pernah melakukan sebarang kesalahan sebelum ini.

Menurutnya, meskipun tindakan Wong tidak boleh diterima, isterinya hamil tiga bulan pada waktu itu dan pasangan itu mengalami "tekanan agak tinggi" kerana isterinya sering mengalami pendarahan teruk.

Beliau menambah Wong juga baru berhenti merokok dan mengalami kesukaran membiasakan dirinya dengan keadaan itu.

Menurutnya, Wong juga membayar bayaran ganti rugi secara sukarela kepada pasangan itu dan tiada keretakan atau bahaya yang serius berlaku.

Atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja, Wong boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun, denda S$5,000 atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan