Images
  • supreme court
    Gambar fail Mediacorp.

Lelaki dipenjara, disebat kerana rogol, mahu hamilkan bekas teman wanita

SINGAPURA: Seorang lelaki yang merogol bekas teman wanitanya dengan niat untuk membuatnya hamil supaya beliau akan kembali menjalin hubungan dengannya, dikenakan hukuman penjara lapan tahun dan enam sebatan pada Isnin (22 Feb).

Nama lelaki berusia 22 tahun itu tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah bagi melindungi identiti mangsa, yang berusia 21 tahun pada ketika itu dan kini berusia 23 tahun.

Mahkamah diberitahu bahawa pesalah mula menjalin hubungan dengan mangsa pada November 2017. Mereka bertunang pada Februari 2019, tetapi hubungan mereka retak selepas itu. Mangsa memutuskan talian pertunangan dan menamatkan hubungan itu pada Mei 2019.

Pada 15 Jun 2019, mangsa berada di rumah seorang diri kerana ibu bapanya berada di luar negara. Beliau berasa kurang sihat dan mengirimkan pesanan teks kepada tertuduh kerana perlu memulangkan barang milik tertuduh kepadanya.

Pada malam itu, mangsa pergi ke pusat beli-belah berhampiran untuk membeli barangan dapur dan didekati tertuduh di kolong bloknya. Dia berkeras mahu menemani mangsa ke pusat beli-belah dan mereka bertengkar tentang hubungan mereka. Mangsa pulang sendirian namun tidak mengunci pintu dan pagar rumah.

Meskipun mangsa memberitahu tertuduh supaya tidak mengganggu dan membiarkannya untuk meneruskan kehidupannya, lelaki itu memasuki rumahnya yang tidak terkunci lalu ke bilik tidur mangsa, menyebabkan mangsa terkejut.

Mangsa menolak permintaan tertuduh supaya menjalin semula hubungan dan memintanya keluar. Bagaimanapun, tertuduh - yang berusia 20 tahun pada ketika itu - memberitahu mangsa bahawa dia akan membuatnya hamil supaya beliau terpaksa menjalin semula hubungan dengannya.

Apabila mangsa berkata "tidak" dan memintanya keluar, lelaki itu merogolnya. Selepas itu, wanita itu bergegas ke tandas untuk membersihkan diri sambil menangis. Tertuduh pula memberitahunya supaya tidak menangis dan berkata bahawa dia akan membantu mangsa menggugurkan bayi itu jika beliau hamil, sebelum keluar daripada rumah itu.

Mangsa mula berasa terjejas secara emosi oleh kejadian itu dan khuatir akan hamil. Beliau juga menangis sepanjang malam dan menghantar mesej kepada bekas teman lelakinya sambil berkata bahawa beliau mahu membunuh diri, dengan menghantar video yang menunjukkan beliau memegang sebilah pisau.

Pada keesokan hari, mangsa memberitahu seorang teman bahawa bekas teman lelakinya merogolnya dan beliau mungkin hamil. Beliau juga merasakan ingin mengambil nyawanya sendiri dan menyoal mengapa Tuhan tidak melindunginya. Temannya berkeras mangsa membuat laporan polis dan beliau kemudian melakukannya.

Lelaki itu mengaku bersalah atas satu tuduhan merogol.

Bagi kesalahan merogol, pesalah itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda atau disebat. 

- CNA/HA/ha

Top