Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara, curi 11 ketam dari House of Seafood, tidak pakai pelitup dengan betul

Seorang lelaki yang mencuri 11 ketam hidup bernilai lebih S$800 dari sebuah restoran makanan laut di Punggol dihukum penjara seminggu pada Khamis (22 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara, curi 11 ketam dari House of Seafood, tidak pakai pelitup dengan betul

Ketam di House of Seafood. (Gambar: Facebook/House of Seafood)

Diterbitkan : 22 Jul 2021 05:02PM Dikemas Kini : 22 Jul 2021 05:12PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang mencuri 11 ketam hidup bernilai lebih S$800 dari sebuah restoran makanan laut di Punggol dihukum penjara seminggu pada Khamis (22 Jul).

Abdul Karim Mohamad, 60 tahun, juga didenda S$1,000 kerana gagal memakai pelitup dengan betul semasa secara tidak jujur mengambil dua beg berisi barangan dapur yang ditinggalkan seketika di lobi lif di Sengkang.

Mahkamah diberitahu bahawa Abdul Karim menganggur ketika melakukan perbuatan itu pada September 2020.

Abdul Karim bersama adiknya berada di Punggol Settlement pada 7.45 malam, 21 Sep tahun tahun lalu apabila mereka ternampak tangki ikan yang besar di restoran House of Seafood dengan banyak ketam hidup di dalamnya.

Dia mengeluarkan ketam-ketam itu untuk dimasukkan ke dalam beg plastik dan menyerahkannya kepada adiknya.

Adik beradik itu kemudian meninggalkan restoran tersebut bersama lima ketam besar berharga S$140 setiap satu dan enam lagi ketam bernilai S$29 setiap satu.

Seorang pelanggan memberitahu pengurus di restoran terkenaan tentang kecurian itu, yang kemudian memekik ke arah adik beradik tersebut.

Abdul Karim dan adiknya berjaya ditangkap oleh kakitangan restoran itu. Polis tiba tidak lama kemudian setelah dihubungi seorang pegawai jeti Punggol.

Abdul Karim mengaku bersalah atas satu tuduhan mencuri dan satu lagi kerana gagal memakai pelitup dengan betul tanpa alasan munasabah.

Tuduhan ketiga membabitkan perbuatannya mengambil secara tidak jujur barang-barang dapur, diambil dalam pertimbangan semasa menjatuhkan hukuman.

TUDUHAN BARANG DAPUR

Pada malam 8 Oktober 2020, seorang lelaki meninggalkan dua beg berisi barangan dapur di lobi lif sebuah blok flat di Sengkang ketika Abdul Karim lalu di situ.

Rakaman kamera polis menunjukkan dia berada di lobi lif tersebut sekitar 8.40 malam dengan pelitupnya ditarik ke bawah dagu dan bahagian hidung serta mulutnya tidak ditutup.

Mangsa membuat laporan polis keesokan harinya setelah mendapati beg barangan dapurnya sudah tidak lagi berada di situ, apabila beliau kembali ke lobi lif kurang 10 minit kemudian.

Menurut hakim beliau diberitahu bahawa nafas Abdul Karim "berbau arak" ketika hadir di mahkamah pada Khamis.

Pihak pendakwa raya meminta hukuman penjara seminggu dan denda S$1,000 dikenakan ke atas Abdul Karim, dengan mengambil kira sabitan kesalahannya sebelum ini, termasuk mencuri pada 1980 dan 2003 serta kesalahan berhubung dadah.

Atas kesalahan mencuri dia boleh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan didenda.

Bagi kesalahan tidak memakai pelitup dengan betul, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan dan didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya.

Adiknya diberi amaran bersyarat 12 bulan kerana menerima barangan curian.  

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan