Images
  • stab
    (Gambar: Jeremy Long)

Lelaki dipenjara cuba bunuh temanita, gigit cuping telinganya di khalayak ramai

SINGAPURA: Selepas mengesyaki temanitanya berbohong tentang pekerjaannya dan memikirkan beliau "menipunya" untuk membelanjakan wangnya, seorang lelaki menikam temanitanya sebelum menggigit cuping telinga wanita itu hingga putus.

Warga China Chen Jianhua, 32 tahun pada Selasa (23 Feb) dijatuhi hukuman penjara lima setengah tahun selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan percubaan menyebabkan kematian tidak membawa kepada pembunuhan, ugutan dan pencerobohan untuk melakukan jenayah mencuri. Tuduhan keempat iaitu mencuri barang milik mangsa diambil kira dalam menentukan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Chen bekerja sebagai seorang tukang masak manakala mangsa, warga China berusia 38 tahun, Ye Yuhuan bekerja sebagai pelayan di sebuah tempat hiburan di Race Course Road.

Mereka berdua tinggal di hostel yang sama dan mula berkenalan menerusi aplikasi sembang WeChat pada Februari 2019. Chen mula membelikan hadiah untuk mangsa dan membantunya dari segi kewangan. Meskipun mereka tidak rapat secara fizikal, mereka saling mengganggap masing-masing sebagai teman lelaki dan temanita, kata Timbalan Pendakwa Raya Dora Tay.

Pada sekitar Julai 2019, hubungan mereka menjadi tegang apabila Chen mula mengesyaki bahawa Cik Ye berbohong dengannya. Dia sangsi tentang jenis pekerjaan yang dilakukan temanitanya dan mengekorinya apabila beliau enggan mendedahkan tempat kerjanya yang sebenar.

Pada 7 Julai 2019, Chen memecah masuk ke bilik hostel Cik Ye lalu mencuri bagasinya. Setelah membuka beg itu secara paksa, dia menemui tiket kereta api China dan kad pendaratan Singapura yang tertera dengan butiran Cik Ye.

Dia terkejut mendapat tahu mangsa sebenarnya tujuh tahun lebih tua daripadanya.

Selepas beberapa hari bertengkar, Chen membeli sebilah pisau seramik dari sebuah pasar raya dengan niat menikam mangsa jika beliau berkeras mahu melaporkan tentang perbuatan mencuri itu kerana beliau sudah tahu tentang bagasinya yang dicuri.

Pada 11 Julai 2019, selepas Chen menghubungi saudara mara Cik Ye di China untuk mengadu tentangnya dan berkata bahawa dia akan mencarinya di tempat kerjanya, Cik Ye membuat laporan polis terhadapnya bagi pencurian dan gangguan.

BERSEDIA MEMBUNUHNYA DAN TANGGUNG AKIBAT

Chen kemudian terserempak dengan Cik Ye bersama seorang teman di sebuah kedai telefon bimbit di Race Course Road lalu dia bersemuka dengannya tentang laporan polis itu.

Sementara teman Cik Ye berjalan di hadapannya di laluan pejalan kaki, Chen mengeluarkan pisaunya lalu menarik mangsa ke arahnya dan menikam mangsa. Pada masa yang sama, dia juga menggigit cuping telinga mangsa dan meludah keluar cebisan kulit yang terputus dengan anting-anting yang dipakai masih di telinganya.

Apabila dia melihat mangsa berdarah, Chen merasakan bahawa dia bertindak terlalu terburu-buru lalu membuang pisau itu ke semak-samun berhampiran sebelum menghubungi polis. Serangan itu juga disaksikan oleh ramai orang di kawasan itu, dengan beberapa orang turut menghubungi polis.

Mangsa dibawa ke hospital dengan cuping telinganya terputus, kesan tikaman sepanjang enam sentimeter pada bahagian belakang lehernya, kesan tikaman sepanjang 15 sentimeter pada bahagian belakang tubuhnya dan beberapa tikaman pada tangannya.

Mangsa dimasukkan ke hospital selama tujuh hari dan diberikan cuti hospital selama 14 hari kerana kecedaraan dialami dinilai sebagai tidak berkemungkinan mengancam nyawa.

Bagi kesalahan cuba menyebabkan kematian yang tidak membawa kepada pembunuhan, Chen boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun, didenda, disebat atau mana-mana gabungan hukuman itu.

- CNA/HA/na

Top