Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara 5 hari, lompat atas teksi bergerak untuk halang bekas isteri

Kesal selepas bertengkar dengan bekas suaminya, seorang wanita menaiki teksi untuk meninggalkan tempat tersebut, namun dihalang lelaki itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara 5 hari, lompat atas teksi bergerak untuk halang bekas isteri

Gambar hiasan. (Gambar: Reuters)

SINGAPURA: Kesal selepas bertengkar dengan bekas suaminya, seorang wanita menaiki teksi untuk meninggalkan tempat tersebut, namun dihalang lelaki itu.

Muhammad Shafiee Abdul Hakim bertindak dengan melompat ke bahagian belakang teksi yang sedang bergerak lalu memanjat ke atas bumbung kereta itu, menyebabkan kerosakan bernilai S$321.

Pada Selasa (30 Nov), lelaki berusia 34 tahun itu dihukum penjara lima hari setelah dia mengaku bersalah atas satu tuduhan melakukan perbuatan nakal.

Satu lagi tuduhan mengganggu bekas isterinya diambil kira dalam menentukan hukuman Shafiee.

BUTIRAN KES

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Louis Ngia memberitahu mahkamah bahawa kejadian itu berlaku pada pagi 10 November tahun lalu di sekitar pusat beli-belah Paya Lebar Square. Pada ketika itu, pasangan tersebut sudah berpisah dan sedang melalui proses perceraian.

Pihak pendakwa tidak memberi mengatakan sebab Shafiee dan bekas isterinya bergaduh, namun ia menyebabkan wanita itu ingin meninggalkan tempat tersebut.

Shafiee, bagaimanapun, tidak membenarkannya berbuat demikian, lalu mangsa bergegas masuk ke dalam pusat beli-belah berkenaan untuk cuba menjauhkan diri.

DPP Ngia berkata Shafiee mengejarnya dan cuba menahan mangsa namun wanita itu berjaya melarikan diri ke perhentian teksi.

Kekecohan itu menarik perhatian orang ramai dan wanita itu menjerit meminta tolong.

DPP Ngai berkata orang ramai cuba meleraikan pasangan yang bergaduh itu dan wanita tersebut mengambil peluang tersebut untuk menaiki teksi.

Menurut DPP Ngai, ketika teksi itu mula bergerak, Shafiee melompat ke belakang kenderaan itu memaksa pemandu berkenaan menekan brek kecemasan.

Bimbang diserang Shafiee, pemandu teksi itu mengunci pintunya dan tidak keluar daripada kenderaan tersebut sehingga polis tiba di tempat kejadian.

Sementara itu, Shafiee duduk di bumbung teksi itu dan enggan turun meskipun setelah dipujuk orang ramai.

Sebaliknya, dia cuba membuka pintu teksi ketika duduk di bumbung teksi itu.

DPP Ngai berkata perbuatan Shafiee bukan sahaja menyebabkan bumbung kereta menjadi lekuk tetapi ia juga merosakkan bahagian tepi kereta.

Pihak pendakwa memohon hukuman penjara selama seminggu, sambil berkata Shafiee mencetuskan rasa takut dalam kalangan orang di situ akibat "perbuatannya yang melulu".

Shafiee, yang tidak diwakili peguam, memberitahu mahkamah menerusi seorang penterjemah bahawa dia menyesali perbuatannya dan menerima hukuman yang diminta pihak pendakwa.

Atas kesalahan melakukan perbuatan nakal, Shafiee boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan