Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dikenakan pelbagai dakwaan, keluar rumah berulang kali semasa 'circuit breaker', ugut tembak lelaki di Orchard Plaza

Seorang lelaki warga Rusia dituduh melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak memakai pelitup di khalayak ramai, memaki carut seorang polis, meludah seorang lelaki di Orchard Plaza sambil berkata: "Kalau ini Rusia, aku akan tembak kau".

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dikenakan pelbagai dakwaan, keluar rumah berulang kali semasa 'circuit breaker', ugut tembak lelaki di Orchard Plaza

(Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 28 May 2020 05:11PM Dikemas Kini : 28 May 2020 05:20PM

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Rusia dituduh melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak memakai pelitup di khalayak ramai, memaki carut seorang polis, meludah seorang lelaki di Orchard Plaza sambil berkata: "Kalau ini Rusia, aku akan tembak kau".

Larionov Andrei, 40, dikenakan 12 tuduhan pada Khamis (28 Mei) termasuk empat di bawah Akta COVID-19 (Langkah-langkah Sementara), dua di bawah Akta Perlindungan dari Gangguan, dan tuduhan-tuduhan lain kerana menggunakan kekerasan jenayah dan kelihatan mabuk serta bogel di tempat awam.

Semua kesalahan tersebut didakwa berlaku selama empat hari antara Disember 2019 hingga Mei 2020, tiga di antaranya adalah semasa tempoh "pemutus rantaian jangkitan", menurut kertas pertuduhan.

Kesalahan paling awal dilakukan pada 7 Disember 2019. Andrei dituduh mencabul kehormatan seorang wanita pada 12.54 pagi di luar Club Le Noir di 3C River Valley Road dengan sengaja memegang punggungnya.

Beberapa minit kemudian, dia didakwa mengancam untuk membunuh seorang pegawai polis di luar kelab.

Kesalahan berikutnya berlaku pada 20 April, semasa tempoh pemutus jangkitan apabila orang ramai diarah untuk tidak keluar rumah kecuali untuk kegiatan penting.

Pada sekitar 4.00 petang hari itu, Andrei meninggalkan rumahnya tanpa alasan munasabah dan pergi ke Orchard Plaza tanpa memakai pelitup, menurut kertas tuduhan.

Di Orchard Plaza, dia didakwa meludah seorang lelaki sebelum mengancam untuk mencederakannya dengan berkata: "Kalau ini Rusia, aku akan tembak kau."

Kejadian selanjutnya berlaku dua hari kemudian pada 22 April, ketika dia sekali lagi dikatakan meninggalkan rumahnya tanpa alasan yang munasabah dan menuju ke Geylang.

Pada sekitar 5.30 petang, dia didakwa mengganggu seorang wanita di Lorong 32 Geylang dengan menjerit tidak tentu arah ketika mabuk.

10 minit kemudian, dia memaki seorang pegawai polis di Lorong 28 Geylang . Ketika itu, dia tidak memakai pelitup, menurut kertas pertuduhan.

Pada 2 Mei, dia dituduh mengganggu dua pegawai polis di pondok kawalan polis Divisyen Tanglin di 21 Kampong Java Road. Lima minit kemudian, dia dikatakan telanjang di depan pondok pengawal yang sama.

Mahkamah diberitahu bahawa dia mungkin akan dikenakan tuduhan tambahan termasuk merosakkan harta benda awam, menghina, gangguan dan yang berkaitan dengan COVID-19.

Dia ditahan reman dan akan kembali ke mahkamah pada 11 Jun.

Andrei menghadapi pelbagai hukuman untuk setiap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, daripada denda hingga penjara sehingga 10 tahun kerana ugutan jenayah dengan ancaman menyebabkan kecederaan parah. Kesalahan melanggar peraturan COVID-19 membawa hukuman penjara enam bulan, denda hingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan