Images
  • handcuff generic
    (Gambar hiasan: Jeremy Long)

Lelaki dijel sapu tahi pada wajah wanita yang tolak pelawaannya

SINGAPURA: Tidak puas hati pelawaannya ditolak, seorang pemandu trak angkat-susun tergamak menyapu tahinya pada muka wanita yang cuba dipikatnya.

Atas perbuatannya itu, Mohamad Razli Abdul Razak, 28 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama seminggu hari ini (10 Jan). Razli, yang tidak diwakili peguam, mengaku bersalah atas satu tuduhan menggunakan kekerasan jenayah.

Razli mula mengenali mangsa, Norlinah Yunos, 49, pada Mei 2017. Mahkamah diberitahu, Cik Norlinah ditugaskan untuk membungkus barang-barang di syarikat Razli. Beliau juga bekerja sebagai pembersih sambilan di sebuah majlis bandaran.

Razli mula terpikat dengan Cik Norlinah, yang berusia sekitar 20 tahun lebih tua daripadanya. Sejak itu, dia mula mencuba untuk memikatnya. Cik Norlinah enggan menerima cintanya tetapi Razli tidak dapat menerima hakikat itu.

Mereka mula bertengkar. Dalam satu insiden pada 1 Jun 2017, Razli memberitahu mangsa bahawa dia akan "menunjukkan sifatnya yang sebenar dan sisi jahatnya" pada keesokan harinya, kata Timbalan Pendakwa Raya Quek Jing Feng.

Seolah-olah 'mengotakan janjinya', Razli menyimpan najisnya dalam beg plastik pada keesokan paginya. Dia mencari Cik Norlinah kerana dia tahu mangsa bertugas pada hari itu.

Pada sekitar 6.40 pagi, dia menemui Cik Norlinah yang sedang membersihkan sebuah tong sampah di Blok 857, Jurong West Street 81.

Dia menyambar mangsa dari belakang lalu meletakkan tangannya pada bahagian dada mangsa dan menggunakan tangannya untuk menyapu beg berisi najis pada mulut mangsa.

Semasa cuba melarikan diri, muka dan badan Cik Norlinah diselaputi tahinya.

Mangsa akhirnya berjaya melepaskan diri dari pelukan Razli. Lelaki itu kemudian melarikan diri.

Atas kesalahan menggunakan kekerasan, Razli boleh dipenjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$1,500, atau kedua-duanya. 

- CNA/AQ/aq

Top