Images
  • fire (2)
    Petikan gambar daripada video yang menunjukkan kebakaran di sebuah tempat letak kereta di luar Pusat Beli-belah Boon Lay. 

Lelaki dijel kerana cetuskan kebakaran di tempat letak kereta luar Pusat Beli-belah Boon Lay

SINGAPURA: Seorang lelaki yang menyebabkan kebakaran di sebuah tempat letak kereta di luar Pusat Beli-belah Boon Lay dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun setengah pada Rabu (10 Jul).

Loh Hsien Aik, 34 tahun, dalam keadaan mabuk pada sekitar 12.50 pagi pada 17 Oktober tahun lalu apabila dia teringin sangat untuk "membakar sesuatu", menurut mahkamah.

Dia menggunakan pemetik api untuk mencetuskan kebakaran kecil di tempat duduk sebuah motosikal yang diletakkan di tempat letak kereta berdekatan Blok 221, Boon Lay Place.

Apabila dia meninggalkan tempat itu, dia melihat kebakaran itu semakin marak, sekali gus membakar sebuah lagi motosikal serta bahagian tepi kereta jenis BMW yang berada berdekatan.

Loh berlegar-legar di kawasan itu tetapi tidak menelefon polis atau Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Seorang pejalan kaki yang sedang bermakan malam di sebuah kedai kopi berdekatan melihat kebakaran itu dan menelefon polis.

Apabila anggota bomba tiba di tempat kejadian, kebakaran itu sudah merebak ke enam kenderaan - lima motosikal dan sebuah kereta, menurut Timbalan Pendakwa Raya Suhas Malhotra.

Kesemua kenderaan musnah, lima daripadanya musnah teruk. Kerosakan pada kenderaan-kenderaan itu bernilai antara S$5,000 hingga S$66,500, dengan jumlah keseluruhan sekitar S$103,000.

Pihak polis menjejaki Loh dan memberkasnya keesokan harinya, sekali gus merampas pemetik api miliknya dan pakaiannya.

Loh mengaku bersalah atas satu kesalahan melakukan perbuatan nakal menerusi kebakaran, dengan satu lagi tuduhan diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Hakim Daerah Shariffudin Saruwan memerintahkan pemetik api dan pakaian Loh dirampas oleh pihak polis.

Atas kesalahan melakukan perbuatan nakal menerusi kebakaran, dan mengetahui ia besar kemungkinan menyebabkan kerosakan pada harta benda, Loh boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan didenda.

- CNA/NA/na

Top