Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dijel, dirotan selepas cuba seludup 177 butir kokain di Lapangan Terbang Changi

Seorang lelaki yang beberapa kali menghantar dadah dari Brazil ke Thailand akhirnya ditangkap pada tahun lalu ketika dia cuba untuk menaiki sebuah pesawat di Lapangan Terbang Changi.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dijel, dirotan selepas cuba seludup 177 butir kokain di Lapangan Terbang Changi

Terminal 4 Lapangan Terbang Changi. (Gambar fail: Edgar Su/Reuters)

Diterbitkan : 09 Oct 2019 09:14PM Dikemas Kini : 09 Oct 2019 09:22PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang beberapa kali menghantar dadah dari Brazil ke Thailand akhirnya ditangkap pada tahun lalu ketika dia cuba untuk menaiki sebuah pesawat di Lapangan Terbang Changi.

Marsland Andrew John, seorang warga Afrika Selatan, dijatuhi hukuman penjara selama 26 tahun dan dirotan 15 kali pada Rabu (9 Okt) setelah mengaku bersalah atas satu tuduhan cuba mengeksport dadah terkawal Kelas A dari Singapura.

Mahkamah diberitahu bahawa Marsland, 49 tahun, direkrut oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Tony di Afrika Selatan untuk menghantar dadah itu. Dia dijanji bayaran AS$2,000 (S$2,760) bagi setiap tugas yang berjaya dilakukannya.

Dia sudahpun menjalankan empat tugas sedemikian dari Sao Paulo di Brazil ke Bangkok menerusi Phnom Penh atau Phuket. Marsland sedang melakukan tugas kelima dan terakhirnya apabila dia ditangkap di Singapura.

Marsland sepatutnya melakukan penerbangan dari Sao Paulo menerusi Zurich ke Singapura dan kemudian ke Phnom Penh di Kemboja. Bagaimanapun, dia menerima panggilan telefon daripada Tony yang memberitahunya bahawa salah seorang penghantar wanitanya berdepan dengan masalah ketika di Kemboja.

Rancangan ditukar dan dia kemudian diaturkan untuk melakukan penerbangan ke Phuket menerusi penerbangan Jetstar dari Singapura.

Marsland mengambil dadah yang diletakkan di dalam sebuah beg kertas berwarna hitam, dari tandas di sebuah restoran di Sao Paulo pada 28 Julai tahun lalu, dan memastikan bahawa terdapat 177 butiran kecil yang mengandungi kokain.

Dia menyembunyikan dadah itu dengan memakai seluar pendek yang disesuaikan untuk menyembunyikan 150 butir kecil dadah tersebut. Dia juga menyembunyikan tiga kondom yang mengandungi sembilan butir kecil dadah antara tubuhnya dan seluar pendek itu, sebelum memakai seluar panjang.

PERUBAHAN PADA PENERBANGAN BERMAKNA BAGASI TIDAK AKAN DIHANTAR

Setibanya di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi pada 31 Julai 2018, Marsland menyedari bahawa dia mungkin terlepas pesawat Jetstar ke Phuket akibat masa yang diperlukan untuk mengambil bagasinya.

Dia kemudian membeli tiket AirAsia untuk penerbangan dari Singapura ke Phuket dan memasuki ruang pelepasan di Terminal 4, untuk meneruskan perjalanan ke Phuket bersama dadah-dadah tersebut, kata Timbalan Pendakwa Raya Gabriel Lim.

Akibat khuatir bahawa dadah-dadah yang diletakkan pada tubuhnya akan dikesan, Marsland berbohong kepada pegawai keselamatan penerbangan dengan mengatakan bahawa dia tidak dapat menjalani pemeriksaan imbasan kerana memakai alat perentak jantung.

Pegawai itu memeriksa tubuh Marsland dan mendapati objek keras di bahagian pinggangnya. Pegawai itu menjumpai kesemua paket kecil yang mengandungi serbuk putih dan Marsland kemudian diberkas.

Kesemua 177 butir kecil itu didapati mengandungi sekurang-kurangnya 2,303.6 gram bahan serbuk dengan sekurang-kurangnya 1,617.19 gram kokain, iaitu dadah terkawal Kelas A.

KEDUDUKAN S'PURA SEBAGAI HAB PENGANGKUTAN DIEKSPLOITASI

Pihak pendakwa raya menggesa agar Marsland dikenakan hukuman tersebut, dengan mengatakan bahawa dia cuba untuk mengeksport jumlah besar kokain.

Menurut pihak pendakwa raya, Marsland sedar bahawa dia terlibat dalam rancangan untuk memindahkan kokain dari sumber di Brazil ke Asia Tenggara.

"Keseluruhan rancangan itu mengeksploit kedudukan Singapura sebagai sebuah hab pengangkutan antarabangsa di rantau ini," kata pihak pendakwa raya sambil menambah bahawa "masalah perdagangan dadah haram di rantau ini merupakan sesuatu yang amat besar dan terdesak."

Beliau berkata terdapat minat dalam kalangan orang awam untuk mencegah para pesalah dan sindiket dadah daripada menggunakan Singapura sebagai tempat untuk membawa masuk dadah ke rantau ini.

Menurutnya lagi, adalah penting untuk mengekalkan reputasi Singapura sebagai sebuah negara yang mempunyai pendirian dan undang-undang tegas dan berkesan terhadap para pesalah dadah.

Marsland pada awalnya dijatuhi hukuman mati, namun hukumannya diringankan dan dia kini dikenakan hukuman penjara maksimum seumur hidup dan dirotan 15 kali.

Penguam belanya, Nandwani Manoj Prakash, memberitahu Mediacorp bahawa hukumannya dapat dikurangkan kerana terdakwa bersetuju untuk mengadu bersalah. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan