Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dijel 3 bulan & didenda S$2,000; tergamak sapu S$4,000 dari akaun bank ibu

Selepas dibebani dengan hutang yang menggunung dengan tailong, Wong Wei Jie membuka akaun perbankan internet untuk ibunya sekalipun ibunya itu tidak menyetujuinya dan dia kemudian memindahkan wang S$4,000 ke dalam akaunnya sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dijel 3 bulan & didenda S$2,000; tergamak sapu S$4,000 dari akaun bank ibu

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 01 Oct 2020 08:30PM Dikemas Kini : 01 Oct 2020 08:32PM

SINGAPURA: Selepas dibebani dengan hutang yang menggunung dengan tailong, Wong Wei Jie membuka akaun perbankan internet untuk ibunya sekalipun ibunya itu tidak menyetujuinya dan dia kemudian memindahkan wang S$4,000 ke dalam akaunnya sendiri.

Lelaki berusia 28 tahun itu dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan didenda S$2,000 pada Khamis (1 Okt). Memandangkan dia tidak mampu membayar denda, dia akan meringkuk di penjara selama seminggu lagi.

Dia mengaku bersalah atas dua tuduhan mempunyai akses tanpa izin kepada bahan komputer, dengan satu lagi tuduhan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Wong sebelum ini meminjam wang daripada ibunya yang berusia 55 tahun untuk melunaskan hutangnya pada November 2018, mahkamah diberitahu.

Dia memberitahu ibunya bahawa dia ingin membuka akaun perbankan internet untuk ibunya, dengan mendakwa bahawa ia akan memudahkannya untuk membayar balik wang yang dipinjamnya itu.

Die kemudian meminta ibunya untuk menyerahkan kad debit POSB beliau lalu menulis nombor kad tersebut.

Meskipun mangsa mengatakan bahawa beliau tidak mahu membuka akaun sedemikian kerana beliau tidak selesa menggunakan perbankan internet, Wong berkeras untuk membuka akaun tersebut untuk mangsa menggunakan butiran kad debit beliau, mendaftarkan nama dan kata laluan. Wong bagaimanapun tidak memberitahu ibunya tentang perbuatannya itu.

Beberapa hari kemudian, Wong menerima token keselamatan perbankan internet bagi akaun tersebut.

Dengan menggunakan token itu, Wong log masuk ke dalam akaunnya pada 7 Nov 2018 dan memindahkan S$4,000 daripada akaun ibunya ke dalam akaun DBS Multiplier miliknya.

Timbalan Pendakwa Raya Chng Luey Chi memohon agar hukuman dijatuhkan ke atas tertuduh, sambil mengatakan bahawa Wong sudah membayar balik separuh daripada jumlah itu dengan memindahkan S$2,000 ke dalam akaun ibunya pada petang Rabu (30 Sep).

Pihak pendakwa menyifatkan perbuatan itu sebagai "sudah terlambat", sambil mengatakan mungkin ada "tanda tanya" tentang sama ada dia benar-benar menyesali perbuatannya itu.

Peguam Wong, Encik Kalaithasan Karuppaya dari Regent Law menjelaskan bahawa anak guamnya terpaksa meminjam daripada teman-temannya untuk membayar balik wang itu.

"Ia bukanlah kerana dia melakukannya dengan sengaja pada saat-saat akhir. Situasinya benar-benar teruk," kata peguam bela itu sambil menambah bahawa Wong pernah bekerja sebagai seorang pemandu Grab dan "pendapatannya sangat kecil" tetapi kini menganggur.

Kesnya juga menjejas kehidupannya dengan keluarga dan mengeruhkan hubungannya dengan mereka.

"Dia tidak mencari alasan atas perbuatannya... dia benar-benar menyesali apa yang telah berlaku. Ia satu pengalaman yang perit dan dia kecewa dengan dirinya sendiri kerana melakukan kesalahan terhadap ibunya sendiri," tambah Encik Karuppaya.

Wong boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan