Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dijel 3 bulan; bakar tuala Hotel 81 gara-gara tidak dibenar 3 orang sebilik

Seorang lelaki yang membakar empat tuala Hotel 81 selepas dimaklumkan bahawa hanya dua orang saja yang dibenarkan dalam sesebuah bilik hotel dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan pada Rabu (21 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dijel 3 bulan; bakar tuala Hotel 81 gara-gara tidak dibenar 3 orang sebilik

(Petikan Google Street View)

Diterbitkan : 21 Apr 2021 01:38PM Dikemas Kini : 21 Apr 2021 01:41PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang membakar empat tuala Hotel 81 selepas dimaklumkan bahawa hanya dua orang saja yang dibenarkan dalam sesebuah bilik hotel dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan pada Rabu (21 Apr).

Lau Sheng Shiun, 34 tahun, didapati bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan nakal dengan menggunakan rokok yang dinyalakan untuk membakar empat tuala di hotel tersebut di Lavender Street pada 12 Sep 2017.

Mahkamah diberitahu bahawa Lau pergi minum bersama dengan seorang lagi tertuduh Chua Wen Hao - iaitu rakan sekerja Lau dalam tentera laut - di sebuah pusat karaoke pada malam mereka berdua bertemu dengan seorang gadis warga Vietnam. Mereka bertiga kemudian pergi ke Hotel 81 Violet di mana Chua menyewa sebuah bilik dengan gadis berkenaan.

Pada sekitar 9.30 malam, Lau memasuki hotel itu lalu pergi ke bilik tersebut. Perbuatannya itu dilihat oleh kakitangan meja penyambut tetamu, yang ternampak dia memasuki bilik berkenaan menerusi rakaman telivisyen litar tertutup.

Memandangkan perbuatannya itu melanggar peraturan hotel yang tidak membenarkan lebih daripada dua orang dalam sebuah bilik, kakitangan berkenaan juga membuat panggilan ke bilik itu tetapi panggilannya tidak dijawab. Beliau kemudian pergi ke bilik tersebut untuk memberitahu Chua bahawa pihak hotel hanya membenarkan dua orang saja.

Lau bertanya kepada kakitangan tersebut sama ada dia boleh menempah sebuah bilik untuk tiga orang tetapi ditolak. Dia kemudian meninggalkan hotel itu menerusi pintu belakang. Dia mula merokok di belakang hotel tersebut di mana bekalan tuala disimpan dan dia kemudian membakar beberapa helai tuala.

Seorang pejalan kaki ternampak tuala-tuala itu dibakar lalu memaklumkan kakitangan hotel, yang memadamkan kebakaran dan menghubungi pihak polis. Kerosakan itu menelan belanja S$60.

Lau meminta agar dia dibicarakan atas dakwaan itu, sambil mendakwa bahawa dia terlalu mabuk untuk mengingati apa yang berlaku dan tidak mungkin berniat untuk melakukan kesalahan itu.

Menurut Lau, dia mungkin membakar tuala-tuala itu disebabkan oleh "rasa hampa kerana tiada bilik untuk tiga orang". Dia merancang untuk mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya itu.

Chua sebelum ini didenda S$2,500 kerana memberikan keterangan palsu kepada seorang pegawai perkhidmatan awam setelah berbohong kepada polis bahawa dia tidak mengenali Lau. Dia mendakwa dia tidak membenarkan Lau memasuki bilik hotel.

Atas kesalahan melakukan perbuatan nakal, dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan didenda.

Sumber : CNA/AY/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan