Images
  • handcuff
    Gambar fail seseorang yang digari.

Lelaki dijel 3.5 tahun kerana benarkan 2 remaja perempuan hisap meth di Sengkang

SINGAPURA: Selepas seorang remaja berusia 15 tahun mengenali Muhammad Raziff Hisham menerusi platform Telegram, dia menaiki keretanya beberapa kali dan bertanya jikalau lelaki itu mempunyai methamphetamine untuk dijual.

Muhammad Raziff bersetuju untuk menghisap dadah terkawal itu yang juga dikenali sebagai "ice", bersama remaja itu dan kawannya di tempat letak kenderaan bertingkat di Sengkang.

Pada Jumaat (20 Nov), pemandu sambilan berusia 32 tahun itu dijatuhi hukuman penjara selama 3.5 tahun.

Raziff mengaku bersalah atas dua kesalahan mengambil dan memiliki dadah.

Dia juga mengaku bersalah atas satu tuduhan membiarkan orang muda mengambil dadah terkawal - hanya dakwaan kedua bagi kesalahan ini dibawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Pada September, seorang wanita berusia 28 tahun menjadi yang pertama didakwa bagi kesalahan itu, yang berkuat kuasa pada Ogos tahun lalu.

Mahkamah diberitahu bahawa Raziff mengenali salah seorang daripada gadis itu, yang dikenal pasti di mahkamah sebagai Y, menerusi kumpulan chat Telegram.

Dia kerap menumpangnya dan kadangkala gadis itu akan membayarnya.

Pada malam 26 April, rakan Y - yang dikenal pasti sebagai X - memintanya jika dia mengenali sebarang pembekal dadah, kerana dia ingin membeli meth. Y kemudian menghampiri Raziff dan memberitahu harga-harga bagi dadah tersebut.

Kedua-dua gadis itu bersetuju mengumpul wang untuk membeli dadah daripada Raziff. Apabila Y bertanya jika mereka boleh menghisap bersama, dia bersetuju. Kedua-dua remaja itu tidak membayar Raziff.

Keesokan paginya, para pegawai dari Biro Narkotik Pusat (CNB) bertindak berdasarkan maklumat yang diterima dan memberkas X.

Raziff diberkas pada 4 Mei di sebuah tempat letak kenderaan di Hougang sebagai sebahagian daripada operasi susulan. Dia mengaku menghisap meth sejak 2019 dan membeli dadah itu daripada seorang yang dikenali sebagai Faizal.

Peguam pembela Wee Hong Shern mengemukakan rayuan dan berkata bahawa Raziff dibuang kerja sebagai seorang pemandu kapal tahun lalu dan menjadi "amat tertekan".

Dia juga sedang berusaha untuk mendapatkan anak bersama isterinya, dan pendapatannya sebagai pemandu Grab "lebih rendah" berbanding jumlah gaji yang diperolehinya sebelum ini.

Bagi kesalahan membenarkan orang muda mengambil dadah terkawal, Raziff boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Bagi mengambil dan memilki dadah khusus atau terkawal, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun atau didenda sehingga S$20,000 atau kedua-duanya. 

- TODAY/NA/na

Top