Images
  • sungei kadut international furniture centr
    (Gambar: Mediacorp)

Lelaki dijel 20 tahun; kelar majikan hingga mati setelah dipecat

SINGAPURA: Setelah menolak tawaran untuk dinaikkan pangkat, prestasi seorang pekerja gudang mula menurun dan akhirnya dipecat oleh majikannya.

Didorong oleh rasa marah kerana seolah-olah disisih dan setelah berminggu-minggu mencari cara untuk membunuh seseorang hingga mangsa mati dengan mudah, warga Malaysia berusia 24 tahun, Yee Jing Man membawa sebilah pisau pencincang ke pejabatnya lalu mengelar salah seorang daripada tiga majikannya hingga mati.

Yee dihukum penjara 20 tahun pada Rabu (9 Jun) atas satu tuduhan membunuh dan satu lagi kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.

Lagi lapan tuduhan termasuk kesalahan mengurung dan ugutan jenayah turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Yee diperkenalkan kepada pekerjaannya di syarikat e-dagang Ji Ji oleh teman wanitanya, yang turut bekerja di sana.

Syarikat itu diterajui oleh tiga pengarah - mendiang Lin Xinjie, 29 tahun, Li Mingqiao, 30 tahun dan Ryan Pan Zai Xing, 29 tahun.

Yee mula bekerja sebagai seorang pekerja gudang di syarikat yang terletak di Sungei Kadut itu pada Mac 2017, dan tugasnya memerlukannya memunggah barang-barang tempahan pelanggan ke lori penghantaran.

Pada awalnya, dia menjalankan tugasnya dengan baik lalu dipuji oleh majikannya kerana rajin bekerja.

Pada 2018, Encik Lin - yang Yee kelar sehingga mati - memberi Yee angpau mengandungi wang sebanyak S$999 sempena Tahun Baru Cina atas prestasinya yang baik.

Beliau juga menawarkan untuk menaikkan pangkat Yee kepada pengurus gudang dan akan menaikkan gajinya sebanyak S$300. Ini bermakna gaji bulanan Yee akan menjadi S$2,000.

Yee bagaimanapun menolak tawaran itu kerana dia tidak mahu dibebani dengan lebih banyak tugas dan tekanan, mahkamah diberitahu.

PRESTASI KERJA BERTAMBAH BURUK

Sejak September 2018, prestasi kerja Yee bertambah buruk, menurut dokumen mahkamah. Dia berkali-kali tidak datang kerja dan tidak memberi sijil perubatan untuk menjelaskan ketidakhadirannya di tempat kerja.

Antara 1 Dis 2017 dengan 12 Mac 2019, Yee tidak hadir di tempat kerja selama 69 hari.

Yee mula berdendam dengan Encik Lin dan Encik Li kerana dia merasakan bahawa dia dimarahi secara tidak munasabah dan disindir oleh mereka berdua, mahkamah diberitahu.

Pada 12 Feb 2019, teman wanita Yee menghubunginya untuk memberitahunya bahawa Encik Lin mahu memecatnya.

Yee memang merancang untuk 'mencincang Encik Lin sampai mati" pada ketika itu, mahkamah diberitahu. Yee memberitahu teman wanitanya bahawa dia ingin membeli pisau pencincang untuk menyerang Encik Lin.

Bagaimanapun, dia mengubah fikiran untuk membunuh mangsa, menurut pihak pendakwa.

SEJARAH INTERNET

Akhirnya, kedua-dua majikannya memutuskan bahawa Yee harus mengambil cuti sebulan dan terus bekerja selepas itu dengan gaji yang lebih rendah.

Yee kembali bekerja di Ji Ji pada Mac 2019, namun prestasinya tidak bertambah baik. Dia tidak hadir di tempat kerja sejak 6 Mac 2019 dan mengambil cuti untuk menerangkan ketidakhadirannya.

Pada 11 Mac 2019, Yee memberitahu teman wanitanya bahawa dia berasa letih dan tidak mahu bekerja. Dengan rasa marah, teman wanitanya menampar Yee lalu menyuruhnya supaya pulang ke Ipoh dan menawarkan untuk membelikannya tiket bas.

Pada pagi yang sama, salah seorang majikan Yee iaitu Encik Pan, menghantar pesanan teks kepada teman wanita Yee untuk memberitahunya bahawa Yee tidak lagi perlu kembali bekerja. Wanita itu kemudian menghantar pesanan itu kepada Yee sambil berkata "anda tentukanlah sendiri".

Yee berasa sangat marah lalu memutuskan untuk menyerang ketiga-tiga pengarah syarikat itu.

Sebelum meninggalkan rumahnya, dia melakukan carian Internet mengenai sama ada dia akan dihantar pulang ke Malaysia setelah diberkas, mahkamah diberitahu.

SERANGAN DI PEJABAT

Yee tiba di pejabat pada pukul 12.55 tengah hari. Dia berjalan menuju ke Encik Li yang sedang duduk di mejanya lalu mengelar bahagian kepala dan lehernya dari belakang.

Dia kemudian berjalan ke arah Encik Lin lalu menghayunkan pisau pencincang itu beberapa kali ke arah bahagian belakang leher lelaki itu. Beberapa kakitangan menyaksikan kejadian itu.

Yee kemudian mengacukan pisau itu ke arah Encik Pan sebelum mengarahkannya supaya memakan angpau yang beliau berikan kepada Yee sebelum ini.

Para pegawai polis tiba di tempat kejadian lalu menahan Yee yang cuba bergelut.

Encik Lin disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh para paramedik. Beliau mengalami pelbagai kecederaan termasuk luka sedalam 19.5 sentimeter pada bahagian leher dan meninggal dunia disebabkan oleh luka kelar pada lehernya.

Atas kesalahan membunuh, Yee boleh dijatuhi hukuman penjara sama ada seumur hidup atau penjara sehingga 20 tahun, didenda dan disebat.

- CNA/HA/ha

Top