Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dijel 15 bulan, dirotan 3 kali; cabul budak 11 tahun di taman atas bumbung HDB

Seorang lelaki berusia 26 tahun dijatuhi hukuman penjara selama setahun dan tiga bulan (15 bulan)dan tiga sebatan rotan pada Jumaat (19 Mac) kerana mencabul kehormatan seorang budak perempuan yang ketika itu berusia 11 tahun dan diusir keluar dari rumahnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dijel 15 bulan, dirotan 3 kali; cabul budak 11 tahun di taman atas bumbung HDB

Gambar fail seseorang yang digari.

Diterbitkan : 21 Mar 2021 08:14PM Dikemas Kini : 21 Mar 2021 08:25PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 26 tahun dijatuhi hukuman penjara selama setahun dan tiga bulan (15 bulan) dan tiga sebatan rotan pada Jumaat (19 Mac) kerana mencabul kehormatan seorang budak perempuan yang ketika itu berusia 11 tahun dan diusir keluar dari rumahnya.

Muhammad Fitri Muhammad Hozir Bonawi menemui budak itu sedang tidur di kolong Blok 146 Bedok Reservoir Road. Dia kemudian membawa mangsa ke taman atas bumbung yang terletak berdekatan dan mencabul kehormatannya setelah dia tertidur di tempat itu.

Tertuduh mengaku bersalah atas satu tuduhan mencabul kehormatan budak bawah umur. Dua tuduhan lain, termasuk eksploitasi seksual budak bawah umur, turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Identiti mangsa, yang kini berusia 12 tahun, tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah.

Mahkamah diberitahu bahawa budak itu pertama kali lari dari rumah pada 11 Jan tahun lalu kerana dia tidak mempunyai hubungan yang baik dengan ibu tirinya. Dia meluangkan beberapa hari bersama rakan-rakannya dan tidur di kolong blok HDB pada waktu malam.

Lima hari kemudian, dia memutuskan untuk tidur di kolong blok di mana Fitri menjumpainya. Dia membangunkannya dari tidur dan menasihatinya agar tidak tidur di sana.

Budak itu memberitahunya bahawa dia telah diusir keluar dari rumah dan tertuduh menyarankan kepada budak tersebut supaya tidur di taman atas bumbung di sebuah tempat letak kenderaan bertingkat yang terletak berdekatan. Budak itu bersetuju dan mengikutinya.

Taman itu sepi ketika mereka sampai di sana. Mereka duduk dan berbual-bual. Budak itu akhirnya menyedari bahawa tertuduh mungkin akan bermalam dengannya dan budak tersebut berasa tidak selesa sehinggakan dia tidak berani tidur di tempat itu.

Pada sekitar pukul 2.30 pagi, mangsa berasa lapar dan bersetuju dengan rancangan Fitri untuk makan di cawangan McDonald's berdekatan.

Mangsa membonceng motosikal tertuduh untuk ke sana sebelum kembali ke taman atas bumbung dan pergi ke gelanggang bola keranjang berdekatan. Mereka berbaring bersebelahan satu sama lain dan berbual.

Mangsa tertidur sekitar pukul 6.00 pagi. Fitri kemudian mencabul kehormatannya dan apabila mangsa terjaga, dia memberitahu tertuduh supaya menghentikan perbuatannya.

Apabila tertuduh berhenti menyentuhnya, mangsa tidur sekali lagi, tetapi dia menyentuhnya lagi. Budak berkenaan menyuruhnya berhenti dan memutuskan bahawa dia tidak akan tidur lebih lama.

Fitri kemudian memeluk dan mencium bibir mangsa sebelum meninggalkannya sejurus kemudian.

Mangsa memberitahu rakannya dan dinasihatkan supaya melaporkannya kepada pihak polis. Mangsa membuat aduan di Pusat Polis Kejiranan Tampines.

Fitri diberkas sekitar sebulan kemudian pada 3 Feb. Semasa siasatan, dia mengakui perbuatannya itu dan berkata mangsa memberitahunya bahawa dia berusia sekitar 12 tahun ketika itu.

Atas kesalahan mencabul kehormatan budak bawah umur 14 tahun, dia boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, didenda, disebat atau dikenakan mana-mana gabungan hukuman tersebut.

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan