Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dihukum mati bunuh teman wanita di hotel Geylang rayu gugur sabitan

Seorang pekerja hijrahan yang dijatuhi hukuman mati pada Disember kerana membunuh teman wanitanya di sebuah hotel di Geylang hadir di Mahkamah Rayuan pada Selasa (12 Okt) untuk membuat rayuan terhadap sabitannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dihukum mati bunuh teman wanita di hotel Geylang rayu gugur sabitan

Hotel Golden Dragon. (Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 12 Oct 2021 04:52PM Dikemas Kini : 12 Oct 2021 04:56PM

SINGAPURA: Seorang pekerja hijrahan yang dijatuhi hukuman mati pada Disember kerana membunuh teman wanitanya di sebuah hotel di Geylang hadir di Mahkamah Rayuan pada Selasa (12 Okt) untuk membuat rayuan terhadap sabitannya.
Warga Bangladesh, Ahmed Salim, 31 tahun didapati bersalah kerana membunuh seorang pembantu rumah warga Indonesia selepas mereka bertemu di Hotel Golden Dragon pada 30 Disember 2018.
Ketika itu, Ahmed sudah bertunang dengan wanita lain. Dia mencekik Nurhidayati Watono Surata, 34 tahun, menggunakan tuala selepas mangsa enggan meninggalkan lelaki lain. Dia kemudian mengikat tali di leher mangsa dengan beberapa simpulan dan memulas kepala mangsa dengan kuat.
Mangsa yang meninggal dunia kerana dicekik turut mengalami kecederaan tulang belakang. Mayatnya ditemui oleh seorang penyambut tamu hotel.
Hakim Mahkamah Tinggi mendapati tindakan Ahmed sebelum, sewaktu dan selepas membunuh mangsa menunjukkan bahawa perbuatannya itu "memang sudah dirancang terlebih dahulu dan dilakukan dengan teratur".
Pada Selasa, para peguam bela Ahmed yang diketuai oleh Encik Eugene Thuraisingam meminta sabitan digugurkan dan hukuman mati dikurangkan kepada sabitan tanpa hukuman mati.
Encik Thuraisingam bersama para peguamnya, Encik Chooi Jing Yen dan Encik Hamza Malik berkata bahawa Ahmed meragut nyawa mangsa kerana dia "dihantui oleh perasaan seolah-olah wanita yang dicintainya sedang bercinta dengan lelaki lain dan mahu meninggalkannya buat selama-lamanya".
Para peguam bela menambah bahawa tindakan Ahmed didorong oleh gangguan penyesuaian. Ia secara langsung disebabkan oleh masalah hubungannya itu dan mewujudkan perasaan sakit hati, bimbang, cemburu dan kemurungan lantas membuatnya "lebih cenderung bertindak mengikut gerak hati dan secara ganas", terang mereka.
Namun, Hakim Andrew Phang menarik perhatian jika pembunuhan itu sudah dirancang terlebih awal seperti yang didapati oleh hakim perbicaraan sebelum ini, maka itu, hujah pihak pembela "tidak kukuh sama sekali" dan tidak dapat dipertahankan.
Panel tiga hakim itu memutuskan untuk menangguhkan keputusan mereka dan akan berbuat demikian pada tarikh yang lain.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan