Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki didenda S$2,800 kerana memancing, buang sampah sembarangan di Paya Simpanan Sungei Buloh

Seorang lelaki didenda S$2,800 pada Isnin (13 Sep) kerana membuang sampah merata dan memancing di Paya Simpanan Sungei Buloh.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki didenda S$2,800 pada Isnin (13 Sep) kerana membuang sampah merata dan memancing di Paya Simpanan Sungei Buloh.

Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Ab Wahab Ahamad memancing menggunakan jaring hanyut di saluran sungai dalam kawasan paya simpanan itu pada 28 Disember 2019.

Kawasan itu ditutup kepada orang ramai dan memancing tidak dibenarkan dalam kawasan paya simpanan itu.

Lelaki berusia 59 tahun itu didapati mengambil ikan dari dalam jaringnya selama setengah jam serta juga membuang puntung rokok ke dalam air di paya simpanan itu dan tidak menyimpannya untuk dibuang ke dalam tong sampah.

Perbuatannya itu dilihat oleh seorang sukarelawan yang kemudian melaporkan hal itu kepada Lembaga Taman Negara (NParks).

Menurut dokumen mahkamah, Wahab giat memancing "bertahun-tahun" di kawasan perairan Kolam Air Kranji, yang juga terletak berhampiran paya simpanan itu.

Dia juga bekerja di sebuah ladang menternak ikan yang terletak kira-kira 150 meter dari saluran sungai itu.

Menurut pihak pendakwa bagi NParks Packer Mohammad,sebagai seorang pekerja di sebuah ladang ternakan ikan berhampiran, Wahab seharusnya tahu bahawa dia tidak sepatutnya memasuki saluran sungai berkenaan.

Wahab juga sebelum ini pernah dinasihatkan NParks agar tidak memasuki kawasan paya simpanan, menurut dokumen mahkamah.

Dalam satu makluman pada Isnin, NParks menyatakan kawasan "dilarang memancing" yang ditetapkan seperti Paya Simpanan Sungei Buloh dikendalikan sebagai tempat perlindungan untuk ikan membesar.

Agensi itu menambah bahawa terdapat tempat-tempat memancing yang dikhususkan di taman dan hutan simpanan yang diuruskan oleh NParks bagi masyarakat memancing.

Tapak-tapak itu termasuk di Taman Pantai Changi dan Changi Boardwalk, Taman East Coast dan Taman Woodlands Waterfront.

NParks menggalak orang awam agar memancing di tempat-tempat yang ditetapkan secara "bertanggungjawab" dan menggunakan kaedah memancing yang "mampan".

"Terdapat pelbagai jenis peralatan dan kaedah memancing, seperti mata kail, joran, perangkap ikan dan jaring. Setiap daripadanya mempunyai ciri-ciri tersendiri dan mempunyai kesan berbeza terhadap sekitaran," menurut NParks.

Perangkap dan jaring ikan apabila hanyut ke laut, akan terus memerangkap dan membunuh ikan dan hidupan marin yang lain, tambahnya.

"Jaring yang hanyut pada dasar laut mungkin boleh tersangkut pada batu karang atau hidupan lain di situ, dan ini boleh menyebabkan ia mati. Atas sebab itu, memancing menggunakan jaring dan perangkap dawai tidak dibenarkan di kawasan yang dikendalikan oleh NParks."

NParks juga menggalakkan amalan memancing "tangkap dan lepas" yang mana ikan-ikan yang tidak dimakan akan dilepaskan semula ke laut.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan