Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki didenda kerana dakwa ada bom dalam bagasi

Seorang penumpang penerbangan Scoot yang mengaku bagasinya mengandungi sebutir bom, didenda S$4,500 hari ini (2 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didenda kerana dakwa ada bom dalam bagasi

Jet pejuang RSAF iringi pesawat Scoot ke Lapangan Terbang Changi selepas Hsu mengaku membawa bersamanya sebutir bom. (Gambar: Lester Lee)

Diterbitkan : 03 Oct 2018 03:58PM Dikemas Kini : 03 Oct 2018 04:02PM

SINGAPURA: Seorang penumpang penerbangan Scoot yang mengaku bagasinya mengandungi sebutir bom, didenda S$4,500 hari ini (2 Okt).

Hsu Chun Meng, seorang rakyat Singapura berusia 41 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan mengugut dengan mendakwa terdapat sebutir bom dalam bagasinya.

Mahkamah diberitahu Hsu seharusnya menaiki pesawat dari Singapura ke Hat Yai di Thailand bersama dua rakannya pada 5 April tahun ini. Pada sekitar 12.55 tengah hari, mereka bertiga menaiki pesawat TR634 Scoot di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi.

Hsu membawa bersamanya satu bagasi dan meletakkannya dalam kompartmen di atas tempat duduknya dalam pesawat.

Bagaimanapun, beg itu terlalu besar dan kompartmen tersebut tidak boleh ditutup. Pramugari Scoot, Boo Joe We, 23 tahun, yang melihat apa yang sedang berlaku, kemudian memberitahu Hsu bahawa bagasi itu terlalu besar dan perlu mendaftar masuk bagasi tersebut.

Namun, Hsu terus mencuba untuk menyumbat bagasinya ke dalam kompartmen tersebut. Ketika Cik Boo bertanya jika Hsu menyimpan barangan penting yang diperlukannya, seperti pasport atau dompet, atau barang-barang yang tidak dibenarkan seperti bateri litium, Hsu menjawab: "Tidak ada apa-apa, kecuali bom."

Hsu mengatakan demikian kerana dia "tidak berpuas hati" dengan "sikap serta cara Cik Boo berbual dengannya", kata Timbalan Pendakwa Raya Nicholas Khoo.

Cik Boo merenung Hsu, yang kemudian berkata: "Tiada bom lah. Hanya bercanda. Mana mungkin."

Cik Boo mula curiga dengan apa yang dikatakan Hsu, tetapi menganggapnya hanya bercanda. Meskipun begitu, beliau melaporkan perkara itu kepada pengurus kru kabin yang bertugas, Cik Ginny Chiong Wen Chin, 26.

Cik Chiong memberitahu Cik Boo bahawa "insiden seperti ini tidak boleh dianggap satu gurauan". Beliau ingin memaklumkan kapten secepat mungkin, tetapi pesawat akan berlepas ketika itu dan beliau tidak boleh memasuki kokpit.

Beliau memberitahu juruterbang tentang apa yang berlaku selepas pesawat sudah berlepas dan beliau akhirnya boleh memasuki kokpit.

Juruterbang segera membuat panggilan kecemasan dan berpatah balik ke Singapura, di mana jet pejuang RSAF mengiringi pesawat itu.

Pesawat itu mendarat pada sekitar 3.20 petang di satu tempat jauh daripada terminal utama Lapangan Terbang Changi. Selepas polis tiba, kesemua 179 penumpang dalam pesawat terpaksa turun dari kapal terbang dan menjalani pemeriksaan keselamatan.

Bagasi milik Hsu dan rakan-rakanya dikesan dan dialihkan untuk diperiksa.

Akibat tindakan Hsu, penerbangan tertangguh selama empat jam dan 48 minit, dan seluruh anak kapal, serta para juruterbang, digantikan dengan kru baru.

Baucar-baucar diagihkan kepada para penumpang terjejas, dan Scoot mengalami kerugian sebanyak S$13,757, menurut dokumen mahkamah.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan