Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki didenda kerana campak makanan pada muka wanita hamil di pawagam

Seorang lelaki yang mencampak sepinggan makanan pada muka seorang wanita hamil di sebuah acara tayangan filem didenda S$1,500 oleh mahkamah pada Jumaat (19 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didenda kerana campak makanan pada muka wanita hamil di pawagam

Gambar fail Mediacorp.

Diterbitkan : 19 Mar 2021 02:27PM Dikemas Kini : 19 Mar 2021 02:36PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang mencampak sepinggan makanan pada muka seorang wanita hamil di sebuah acara tayangan filem didenda S$1,500 oleh mahkamah pada Jumaat (19 Mac).

Kevin Fong Kwok Hsi, 40 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 32 tahun, yang ketika itu sedang hamil lebih tujuh bulan.

Mahkamah diberitahu bahawa Fong dan mangsa berada di pawagam Golden Village di pusat beli-belah VivoCity pada 23 Nov 2019 untuk menonton tayangan filem tersebut.

Wanita itu sedang berjalan di hadapan papan watak Frozen 2 apabila ketika dia merasakan seseorang mencucuk bahagian paha kirinya. Wanita itu kemudian menoleh dan melihat lelaki warga tua - yang merupakan bapa Fong.

Beliau ingatkan orang tua itu mencucuknya kerana beliau menghadang sebuah keluarga yang sedang cuba bergambar dengan watak pada papan berkenaan.

Mangsa kemudian berkata pada dirinya sendiri "anda dengan sesuka hati menyentuh orang lain" sebelum beredar dari situ. Namun, isteri Fong terdengar kata-kata wanita tersebut dan merenung mangsa sebelum memberitahu Fong apa yang berlaku.

Mangsa juga memberitahu suaminya tentang insiden itu tetapi tidak mahu membesar-besarkan perkara tersebut.

Sekitar lima minit kemudian, ketika mangsa sedang beratur di kaunter jamuan bufet tengah hari, Fong yang sedang memegang sepinggan makanan menghampirinya lalu merenung ke arah mangsa.

Mangsa kemudian bertanya kepada Fong: "Apa masalah anda?" lalu Fong menjawab: "Kenapa awak panggil bapa saya gila?"

Mangsa menjawab bahawa bapa Fong mencucuk pahanya dan sebagai seorang wanita, beliau boleh melaporkan tindakan bapa Fong untuk dikenakan tindakan. Semasa menerangkan perbuatan bapanya, mangsa mencucuk Fong pada bahagian tubuh yang sama untuk menunjukkan apa yang dilakukan oleh bapa Fong.

Fong naik berang lalu mencampak pinggannya, yang berisi pastri termasuk tat telur, ke arah muka mangsa. Beliau berasa sakit dan mengalami calar pada bahagian hidungnya.

Suaminya mendengar teriakannya dan bergegas menolongnya, sambil menolak Fong yang berdiri di hadapan isterinya. Orang lain dengan pantas memisahkan mereka sementara mangsa pula menghubungi polis.

Beliau kemudian pergi ke hospital dengan luka di bahagian hidung dan diberikan cuti sakit serta janji temu susulan dengan Jabatan Obstetrik & Ginekologi. Bil perubatannya berjumlah S$121.

Mangsa hamil 33 minggu ketika itu, kata Timbalan Pendakwa Raya Phoebe Tan. Fong membayar bil perubatan mangsa pada Januari tahun ini.

Pendakwa raya itu berkata Fong menggunakan kekerasan jenayah ke atas mangsa yang lemah, namun menarik perhatian bahawa kehamilannya tidak terancam. Pihak pendakwa menyerahkan kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman.

Peguam Fong mengusulkan denda sambil menegaskan bahawa mangsa yang memulakan kekecohan itu dan insiden berkenaan adalah kejadian sekali sahaja.

Kerana menggunakan kekerasan jenayah, Fong boleh dipenjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$1,500 atau kedua-duanya.

Sumber : CNA/AY/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan